"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid: Isham dipecat kerana hina Umno

Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil dipecat kerana menghina dan memperkecilkan parti, bukan disebabkan kritikannya terhadap presiden, kata Zahid Hamidi.

Presiden Umno berkata, parti akan lebih rosak jika keadaan itu dibiarkan berterusan.

“Orang itu kalau ada dalam Umno akan lebih rosak lagi Umno,” katanya selepas melancarkan sistem pengesahan dokumen kelayakan digital oleh MyEG Services Bhd di sini.

Timbalan perdana menteri itu berkata, keputusan memecat Isham dibuat MKT dan ia tidak perlu dibawa ke Lembaga Disiplin.

“Keputusan itu dibuat oleh MKT, bukan presiden, tidak perlu (Lembaga Disiplin) kerana Lembaga Disiplin akan bawa kepada MKT. MKT akan putuskan dan keputusan MKT muktamad.

“Untuk kritik presiden tidak jadi pertimbangan langsung sebarang tindakan disiplin, tetapi bila menghina parti sendiri dan memperkecil-kecilkan Umno sebagai sebuah parti yang dianggotainya, tindakan itu dilakukan MKT supaya tidak ada usaha tikus memperbaiki labu dalam Umno.”

Zahid turut menepis tuduhan tindakan disiplin terhadap ahli menghina parti akan merosakkan Umno dalam jangka panjang.

Terdahulu, Isham mengesahkan menerima surat pemecatan daripada Umno hari ini, tetapi beliau tidak akan merayu kerana ia dibuat tanpa melalui Lembaga Disiplin.

Surat pemecatan yang bertarikh 8 Dis itu ditandatangani Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan Isham dipecat serta-merta atas alasan melanggar etika sebagai ahli Umno.

Tiada ulasan: