"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz: ‘Kalau PN sudah cukup majoriti nanti, beritahulah’

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 

“Kalau sudah cukup majoriti nanti, bagitahulah..,” demikian ‘pesanan’ yang ditujukan Datuk Mahfuz Omar kepada Perikatan Nasional (PN).

Ia susulan nama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri mewakili PN pada masa hadapan.

Bagaimanapun, Naib Presiden AMANAH itu menyifatkan, ciri penting untuk seseorang itu menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, adalah mendapat sokongan majoriti.

”Tidak mengapalah kalau nak letak nama sebagai calon PM, tetapi kena ingat, nak jadi calon PM ini dia mesti ada sokongan majoriti.

”Sekarang ini mereka (PN) tidak ada majoriti, macam mana nak jadi PM? Jadi kita minta hentikanlah isu nak ambil alih kerajaan kerana ianya akan memberikan imej tidak baik kepada negara.

”Kalau sudah cukup majoriti nanti… bagitahulah.. Sekarang biar kerajaan teruskan agenda mereka untuk membangunkan negara, meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pendapat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bahawa sebelum diangkat sebagai calon PM, Samsuri perlu dilantik sebagai Presiden Pas terlebih dahulu bagi membolehkannya menjadi Pengerusi PN, sekali gus melayakkan Samsuri atau dikenali sebagai Dr Sam menjadi PM.

Semalam, portal ini melaporkan bahawa Lokman mencadangkan agar Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Yassin perlu melepaskan jawatannya kepada Samsuri susulan nama Ahli Parlimen Kemaman itu disebut sebagai calon PM mewakili PN.

Menurut Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO, jika Samsuri sudah diumum sebagai calon PM daripada PN, Mahiaddin sewajarnya berjiwa besar memberikan jawatan Pengerusi PN kepada Samsuri.

“Lagi pun daripada 74 Ahli Parlimen PN, 48 adalah Ahli Parlimen Pas, hanya 26 sahaja daripada Bersatu.

”Jadi, sewajarnya Muhyiddin menyedari bahawa Bersatu menang pun, mereka menumpang kekuatan Pas,” katanya.

Pada 27 November lalu, Mahiaddin dilapor berkata, beliau tidak menafikan Samsuri sebagai calon PM pada masa depan untuk gabungan berkenaan.

Beliau berkata, ia adalah langkah strategik gabungan tersebut, sekali gus memberi gambaran PN mempunyai ramai calon dan tokoh untuk diketengahkan.

Menurut laporan Astro Awani pada 3 Disember lalu, Samsuri sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah sesekali terlintas dan bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang sedia mempertimbangkannya pada masa akan datang jika diberi amanah oleh parti dan rakyat.

“Sudah banyak kali saya ditanya tentang perkara ini, tapi saya nak beritahu, ia bukanlah target untuk mendapatkan jawatan apabila menyertai politik.

“Tapi, jika sampai satu masa, saya sedia mempertimbangkannya jika diberi amanah oleh parti dan rakyat,” ujar beliau yang juga Naib Presiden Pas.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman 2 Disember lalu, Samsuri menang dengan majoriti 37,220 dengan memperoleh 64,998 undi, manakala pesaingnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor daripada Barisan Nasional (BN) mendapat 27,778 undi.

Tiada ulasan: