"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas dituntut perjelas siapa sebenarnya munafik, Ansar

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 

Dr Abu Hafiz Salleh Huddin membidas Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan artikel Presiden Pas itu bertajuk ‘Cara golongan munafiq menentang Islam diikuti Israel dan Pakatan Harapan’.

Menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok, bekas Ketua Muda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu bertanyakan kepada Hadi siapa pihak munafik dan Ansar yang dimaksudkan.

”Saya nak tanya, kalau menggunakan ayat tujuh Surah al-Munafiqun, siapa yang munafiknya? Siapa pula Ansarnya?

“Siapa yang menjadi mangsanya? Anda nak kata diri anda adalah Ansar, parti anda (Pas) adalah Ansar kononnya telah ditekan oleh munafik. Siapa munafiknya? Kerajaan Perpaduan ke?

”Mungkin orang kata, oh, yang ini awak yang kata, bukan dia yang kata. Sebab itu, saya tanya persoalan (bertanya).

“Tulisan-tulisan itu bukan kali pertama, sudah banyak kali,” bidas beliau kepada Ahli Parlimen Marang itu.

Dalam masa sama, Abu Hafiz mengingatkan bahawa kenyataan Hadi itu sangat berbahaya kerana ia merupakan permulaan bibit-bibit menghidupkan semula takfiri di negara ini dan ianya perlu ditentang.

”Saya mohon kepada kerajaan untuk lawan secara berstruktur. Saya berhubung dengan Menteri Agama (Mohd Na’im Mokhtar) dan beliau memberikan komitmennya.

”Saya hargainya dan inilah semangat yang saya perlukan daripada menteri agama,” katanya lagi.

Pada 6 Disember lalu, Hadi dilihat memanipulasi ayat al-Quran sehingga tergamak mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan sifat munafik dan rejim Israel.

Menerusi Minda Presiden Pas, antara yang diperkatakan Hadi adalah, sikap memaksa rakyat untuk menyokong dan mendukung apa-apa sahaja ialah amalan purba zaman jahiliah yang turut diamalkan oleh Yahudi Zionis Israel di Palestin.

“Mereka menolak Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) yang menang secara majoriti dalam Pilihan Raya Perundangan Palestin 2006 dahulu dengan membenarkan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang menang secara minoriti menubuhkan kerajaan.

“Maka, konsep yang diguna pakai oleh PH menepati demokrasi yang diamalkan oleh Israel terhadap Kerajaan Hamas di Palestin yang memenangi pilihan raya dan mencapai majoriti yang mencukupi.

“Namun, PLO sebagai kumpulan minoriti yang tunduk menjadi boneka Zionis Israel dan Amerika Syarikat pula yang menubuhkan kerajaan dengan mengikuti telunjuk mereka,” tulisnya.

Tulisan Hadi itu didahului dengan petikan ayat tujuh, Surah al-Munafiqun.

Kata Hadi, ayat tersebut menceritakan ucapan golongan munafik pada zaman Nabi Muhammad SAW yang berkempen agar sekatan ekonomi dilakukan supaya golongan Ansar, iaitu orang-orang Madinah yang beriman tidak memberikan sumbangan kewangan kepada orang-orang yang beriman kepada Rasulullah SAW.

Jelasnya, hal demikian supaya mereka yang beriman berada dalam kesusahan kerana tiada perbelanjaan, lalu mereka tidak lagi bersama Rasulullah SAW.

“Begitulah hujah dalam menyekat peruntukan kewangan, royalti petroleum, dan sebagainya kepada negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.

“Demikian juga kepada wakil-wakil rakyat Pas dan rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) yang bersama dengan Pas yang dikuasai oleh Melayu Islam, supaya apabila mereka tidak mempunyai duit nanti, maka rakyat tidak akan menyokong mereka lagi.

“Ini tidak dilakukan kepada parti selain daripada Pas. Apakah kerana wajah Islam pada Pas menyebabkan mereka lakukan sedemikian?” soal Hadi lagi.

Tiada ulasan: