"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahiaddin perlu lepaskan jawatan Pengerusi PN kepada Samsuri

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin perlu melepaskan jawatannya kepada Ahli Parlimen Kemaman yang baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Cadangan itu disuarakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam susulan nama Ahmad Samsuri disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri mewakili PN pada masa depan.

”Kalau Ahmad Samsuri sudah diumum sebagai calon PM daripada PN, sewajarnya hari ini Muhyiddin berjiwa besar memberikan jawatan tersebut (Pengerusi PN) kepada Ahmad Samsuri.

”Saya merasakan memang sewajarnya Dr Ahmad Samsuri menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi PN.

“Lagi pun daripada 74 Ahli Parlimen PN, 48 adalah Ahli Parlimen Pas, hanya 26 sahaja daripada Bersatu.

”Jadi, sewajarnya Muhyiddin menyedari bahawa Bersatu menang pun, mereka menumpang kekuatan Pas.

“Sewajarnya Pas diberi mandat sebagai calon PM dan mengambil alih tempat sebagai Pengerusi PN,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook beliau.

Pada 2 Disember lalu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi dengan majoriti 37,220 undi.

Samsuri memperoleh 64,998 undi berbanding calon Raja Mohamed Affandi yang hanya mendapat 27,778 undi dalam saingan dua penjuru itu.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada 27 November lalu, Mahiaddin dilapor berkata bahawa beliau tidak menafikan Ahmad Samsuri sebagai calon PM pada masa depan untuk gabungan berkenaan.







Tiada ulasan: