"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aduhai pemimpin: 'Syarikat terus kaya, 16 kampung diancam bahaya'

Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
Laluan balak mula dibina di kawasan Bukit Gunung Bongsu
Laluan balak mula dibina di kawasan Bukit Gunung Bongsu
KULIM: Kerja penebangan pokok di kawasan Hutan Simpan Gunung Bongsu, di sini, dipercayai untuk laluan pembalakan, menimbulkan kebimbangan penduduk 16 kampung sekitar kaki gunung berkenaan.

Kawasan kaki gunung menempatkan kira-kira 16,000 penduduk, paling dekat di pekan Karangan, Kampung Ulu Paip, Kampung Kemunting, Kampung Seberang Jaya, Banggol Penyegat, Padang Janggus, Padang Limau, Batu Putih, Belakang Masjid dan Jangkang.

Penduduk Ulu Paip, Abdul Wahab Syakroni Wahi, 37, berkata kampung di kaki Gunung Bongsu berisiko dilanda banjir puing kerana dua sungai utama dari gunung, iaitu Sungai Ulu Paip dan Sungai Kob mengalir melalui kawasan berkenaan.

Katanya, biarpun aktiviti pembalakan di kompartmen 15, 42, 43 di Gunung Bongsu belum bermula, penduduk terutama yang tinggal berdekatan dua sungai berkenaan gelisah memikirkan nasib mereka.

"Ketika ini syarikat yang mendapat kebenaran pembalakan di kawasan itu dalam proses membuka laluan balak bagi memulakan aktiviti ladang hutan di kompartmen berkenaan.

"Kesan awal sudah dapat dilihat setiap kali hujan lebat lebih sejam, kepala air turun deras.

"Jika ada aktiviti pembalakan nanti, penduduk berisiko terdedah kepada bencana dan kerosakan bakal ditanggung pastinya teruk, selain hilang harta benda.

"Syarikat pembalak pula terus kaya raya, semua ini tidak sepadan dengan risiko dihadapi penduduk," katanya.

Mengikut rekod, pembangunan ladang hutan kira-kira 500 hektar di kompartment 15, 42 dan 43 hutan simpan terbabit sudah diluluskan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi Negeri Kedah kepada Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) pada 14 Disember 2014.
Tinjauan dari pemandangan Bukit Gunung Bongsu
Tinjauan dari pemandangan Bukit Gunung Bongsu
Peroleh kelulusan EIA

Projek ladang hutan itu juga mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 25 Jun 2021.

Bagaimanapun, kerja pembalakan tidak dimulakan kerana lesen belum dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) yang masih menunggu penyediaan Rancangan Pengurusan Ladang Hutan (RPLH).

Abdul Wahab turut mempersoalkan bagaimana projek ladang hutan itu mendapat kelulusan EIA tanpa mengambil kira pandangan penduduk yang dikhuatiri menerima kesannya selepas penebangan pokok dilakukan.

Beliau mengimbau kejadian dua beranak di Kampung Baru, Sungai Kob yang terkorban dihanyutkan banjir ketika cuba mengalih kereta di hadapan rumah pada 29 Mei 2018, dipercayai kesan pembalakan di gunung sama.

"Rumah mereka juga dihanyutkan arus. Saya antara yang turut membantu bomba mencari mangsa sebelum mayat mereka ditemui sehari selepas kejadian, seorang tersepit antara balak hanyut dan seorang lagi tersangkut pada pokok sawit.

"Ketika kejadian, terdapat aktiviti pembalakan di kompartmen 52, 53 dan 54 Gunung Bongsu. Kami bimbang kejadian sama berulang jika sudah ada aktiviti pembalakan nanti, tidak mustahil tragedi banjir puing di Kampung Iboi, Baling berulang," katanya.

Selain banjir puing, penduduk juga khuatir risiko runtuhan tanah dan pencemaran air sungai ke kawasan kampung yang akan menyebabkan mereka menderita kehilangan harta benda, malah nyawa.

Seorang lagi penduduk, Zarina Md Asid, 61, juga bimbang penebangan pokok dan projek ladang rakyat di gunung berkenaan akan merosakkan sumber air yang digunakan penduduk sejak 1970-an lagi.

"Lebih 20 rumah di kaki gunung guna air dari empangan kecil yang dibina di sungai berdekatan, manakala kira-kira 50 pemilik kebun guna sumber air dari gunung. Jika ada pembalakan di hutan ini, kami bimbang sumber air terjejas dan tercemar dengan lumpur.

"Kami tidak dapat guna bekalan air dari Syarikat Air Darul Aman (SADA) kerana tekanan sangat rendah di sini," kata ibu kepada 12 anak ini yang turut khuatir pembalakan menyebabkan keindahan kawasan rekreasi Air Terjun Ulu Paip terjejas dan air jernihnya tercemar.

Risiko dilanda banjir puing

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Pekan Karangan, Foo Khi Hui, 43, berkata sebanyak 93 rumah kedai di pekan itu berisiko dilanda banjir puing berikutan kedudukan lokasi berkenaan berhampiran Sungai Ulu Paip.

"Saya sudah membelanjakan kira-kira RM50,000 untuk meninggikan bahagian dapur rumah lima tahun lalu selepas kawasan rumah kerap dinaiki air. Tahun ini saja sudah tiga kali banjir, rumah kedai saya terselamat selepas saya tinggikan bahagian dapur, jika tidak, air masuk dalam rumah.

"Saya bimbangkan nasib penduduk, jika ada kerja pembalakan, aliran air dari Sungai Ulu Paip akan sangat deras selepas hujan. Apabila tiada pokok, banjir boleh jadi makin buruk," katanya.

Tiada ulasan: