"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas koperal diburu berdepan kes rogol 15 tahun lalu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas anggota polis berpangkat koperal terus diburu apabila menghilangkan diri selepas berdepan empat pertuduhan kes serangan seksual di Gita, Kuching, 15 tahun lalu.

Ketua Polis Kuching, Ahsmon Bajah, berkata Juwanda Ranu Suut berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan tiga lagi mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Katanya, anggota terbabit yang gagal dikesan telah diberhentikan daripada perkhidmatan polis pada 29 Ogos 2013.

“Sehingga kini polis masih berusaha mengesan bekas anggota terbabit yang turut mempunyai satu lagi rekod lampau mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan di Sri Aman,” katanya pada sidang media di IPD Kuching hari ini, menurut Berita Harian.

Beliau berkata Juwanda antara 55 individu termasuk seorang warga asing diburu pihaknya atas pelbagai kesalahan jenayah, narkotik serta komersil.

Selain itu katanya, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 112 kes pecah rumah dan curi dilaporkan di Kuching.

Menurutnya, ia menunjukkan peningkatan 61 kes atau 119.61% berbanding 51 kes yang berlaku dalam tempoh sama tahun lalu.

“Kes pecah rumah dan curi itu menyebabkan kerugian kira-kira RM345,435 dan 32 suspek sudah ditahan dalam tempoh enam bulan itu dengan 14 daripadanya sudah dituduh sekali gus membawa kepada penyelesaian 37 kes,” katanya.

Tiada ulasan: