"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terlupa, tersilap, tersalah dan ‘ter’ apa lagi?

Mohsin Abdullah

Khalid Ibrahim, Dr Mahathir Mohamad, dan Muhyiddin Yassin pernah tersasul ketika berkempen.

Begitu y sidang media di White House dua hari lalu, Presiden Joe Biden ditanya Reuters mengenai keyakinannya terhadap Kamala Harris. Biden menjawab “Begini, saya tidak akan pilih Naib Presiden Trump untuk jadi naib presiden jika beliau tidak layak jadi presiden.” Padahal satu dunia tahu naib presiden Amerika Syarikat ialah Kamala Harris.

Adakah Biden tersalah sebut? Terlupa? Atau beliau begitu engrossed dengan pencabarnya Donald Trump sehingga tidak dapat melupakan lawannya itu dan got names mixed up? Namun bagi golongan yang curiga termasuk ahli Democrat parti Biden sendiri, yang mahu beliau tarik diri daripada pemilihan presiden November ini, pertanyaan mereka adakah itu tanda tanda tahap kesihatahn mentalnya?

Dua jam sebelum sidang media itu, ketika berucap di sidang kemuncak NATO juga di Washington, Biden merujuk Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, sebagai ‘Presiden Putin’, drawing gasps from those in the room, menurut Reuters.

Biden bagaimanapun membuat pembetulan dengan berkata “Presiden Putin? You gonna beat President Putin.” Russia melancar perang ke atas Ukraine lantas Putin ialah musuh Zelenskiy. Saya tidak tahu tahap kesihatan Biden tetapi in this instance and this only saya percaya beliau tersasul.

Pada 2007, Khalid Ibrahim, waktu itu calon Parti Keadilan Rakyat bertanding di DUN Ijok, Selangor. Semasa berucap di satu ceramah beliau berkata “saya berharap kita bersama-sama membuat perubahan dan mengundi calon Barisan Nasional menang DUN Ijok”.

Propagandist BN mencanang kata-kata itu. Media pro-BN terutama stesen televisyen berulang kali menyiarkan sedutan ucapan itu seolah untuk memberi gambaran Khalid sendiri tidak confident menang lalu mempromosi lawannya. Bagi saya itu tidak adil malah hitting below the belt. Jelas Khalid tersasul. Mustahil beliau mahu undi diberi kepada pihak lawan.

Pada 2019, Muhyiddin Yassin selaku timbalan pengerusi Pakatan Harapan ketika berkempen untuk calon bagi kerusi DUN Semenyih mengajak pengundi menyokong calon parti lawan iaitu BN. Itu kali kedua beliau tersasul dalam tempoh kempen PRK berkenaan.

Bagi Utusan Malaysia “mungkin masih merindui kem pemerintahan dahulu Muhyiddin tersasul”, mengambil kira beliau pernah memegang jawatan tinggi dalam BN sebelum menyertai Bersatu-PH waktu itu.

Dua tahun kemudian selaku pengerusi Perikatan Nasional pula, Muhyiddin tersasul menyeru rakyat jangan percaya Perikatan Nasional.

Bercakap pula mengenai Dr Mahathir Mohamad. Pada 2018 Mahathir yang memimpin Pakatan Harapan beberapa kali tersasul. Beliau pernah mengumumkan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai presiden Umno. Pernah juga mengumumkan tarikh persidangan tahunan Bersatu sebagai persidangan Umno, dan apabila persidangan diadakan beliau memanggil para perwakilan Bersatu ahli Umno. Semasa berkempen untuk PRU14, Mahathir tersasul meminta orang ramai jangan undi Pakatan Harapan.

Di pentas media sosial ada beberapa video Zahid Hamidi. Tetapi kebanyakannya memaparkan Zahid ‘tergeliat lidah’ yakni sukar menyebut beberapa perkataan, seperti ‘kemunafikan’ yang dijadikan bahan ketawa musuh politik.

Namun video yang diviralkan kemungkinan besar oleh puak anti Zahid ialah apabila beliau tersasul semasa berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2020 yang diadakan tahun berikutnya. Ketika itu presiden Umno bercakap mengenai penolakan terhadap Anwar Ibrahim dan DAP. Dengan lantang beliau berkata “No DAP, No Umno, No Anwar”.

Saya Google ‘Anwar tersasul’ dan carian menyajikan video beliau berucap di satu majlis dalam bahasa Inggeris. Tetapi ia bukan sasul. Ia lebih kepada ‘terbelit lidah’ ketika menyebut ECLR pada hal yang dimaksud ialah ECRL iaitu East Coast Rail Line.

Setelah beberapa kali menyebut ECLR, beliau akhirnya berjaya dengan ECRL. “East Coast Railing, now I got it right,” kata beliau disambut tepukan hadiran.

Cukup sekadar untuk hiburan di hujung minggu. Jika ini boleh dianggap hiburan.

Tiada ulasan: