"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 beranak pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan

Bernama

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan tiga beranak disyaki pengikut ajaran sesat yang difatwakan haram iaitu Millah Abraham, kira-kira 6 petang tadi.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah, berkata suami isteri berusia lingkungan 40-an ditahan di sebuah rumah disewa sejak enam bulan lalu di Felda Sungai Kelamah, Tampin.

Manakala anak lelaki mereka berusia 16 tahun yang tidak bersekolah ditahan di kediaman asal keluarga berkenaan di Felda Palong 3, Jempol.

“Ketika ditahan mereka tidak menjalankan sebarang aktiviti tetapi siasatan mendapati mereka merupakan pengikut kepada ajaran itu. Turut dirampas 15 barang dan dokumen termasuk buku nota, komputer riba dan telefon bimbit,” katanya dalam sidang media.

Fatwa dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan pada 2019 menyatakan ajaran atau fahaman itu bercanggah hukum Islam.

Zaki berkata, mereka yang ditahan dikesan merekrut dan menyebarkan ajaran itu kepada keluarga terdekat serta penduduk setempat selain dipercayai aktif lebih setahun berdasarkan risikan serta maklumat awam.

Beliau berkata, antara ajaran diamalkan termasuk mempercayai kewujudan nabi baharu, mempunyai syahadah berbeza selain cuba menggabungkan tiga agama iaitu Islam, Yahudi dan Nasrani selain sembelihan bukan ahli adalah haram.

“Mereka bergerak secara sembunyi seperti di restoran atau kedai makan, kita percaya ahli bukan sahaja di negeri ini tetapi seluruh negara dan ada dalam kalangan profesional,” katanya.

Ketiga-ketiga mereka ditahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu berkaitan ajaran meragukan.

Zaki berkata, operasi itu susulan serbuan ajaran sesat Millah Abraham di Kampung Sri Repah, Tampin pada 2019.

Tiada ulasan: