"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda PH sound Akmal supaya hormat keputusan speaker

Faiz Zainudin

Mohd Hasbie Muda berkata Johari Abdul mempunyai kuasa dalam membuat keputusan mengekalkan kedudukan enam Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pemuda Pakatan Harapan (PH) meminta semua pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menghormati keputusan speaker Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi bekas enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kerajaan.

Timbalan Ketua Pemuda PH Mohd Hasbie Muda berkata Johari Abdul mempunyai kuasa membuat keputusan mengekalkan kedudukan enam wakil rakyat terbabit.

Penyandang kerusi Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Dakwa Hasbie yang juga ketua Pemuda Amanah, keputusan itu tiada kaitan akta antilompat parti kerana enam wakil rakyat terbabit masih ingin kekal sebagai ahli Bersatu namun seolah-olah ditekan dan dipaksa sehingga terlucut keahlian.

“Menyokong perdana menteri tidak bermakna lompat parti sama seperti pembangkang (PH) sebelum ini tandatangan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

“Pembangkang sokong PM (Ismail) malah undi menyokong kerajaan di Parlimen,” katanya kepada FMT mengulas hantaran Akmal di Facebook malam tadi yang menyifatkan akta antilompat parti diluluskan di Parlimen dua tahun lalu sia-sia selepas wakil rakyat berpaling tadah tidak hilang kerusi.

Kenyataan Akmal menyusul keputusan Johari tidak mengosongkan enam kerusi bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.

Selasa lalu, Johari memutuskan enam Ahli Parlimen terbabit tidak perlu mengosongkan kerusi mereka berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.

Beliau menjelaskan Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu bertentangan dan menafikan hak Zahari, Azizi, Syed Hussin, Iskandar Dzulkarnain serta Dzulkafperi yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Berhubung status Suhaili, Johari menjelaskan beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak berkaitan dalam kes saman wakil rakyat itu ke atas Bersatu yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan keputusannya di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 20 Jun lalu, Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee menyerahkan notis kekosongan kerusi enam Ahli Parlimennya yang terhenti keahlian serta-merta kepada pejabat speaker Dewan Rakyat.

Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia, selain terus menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.

Tiada ulasan: