"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Doktor Malaysia bersalah sebabkan kematian isteri, anak di HK

FMT Reporters

Juri dalam Mahkamah Tinggi di Hong Kong sebulat suara mendapati Dr Khaw Kim Sun menggunakan bola yoga diisi karbon monoksida dalam but kereta.

PETALING JAYA: Seorang doktor warga Malaysia yang pernah menjadi pensyarah di Universiti China Hong Kong (CUHK) didapati bersalah membunuh isteri dan anak perempuannya pada 2015.

Selepas perbicaraan semula, juri Mahkamah Tinggi di Hong Kong sebulat suara mendapati pakar bius Dr Khaw Kim Sun menyebabkan kematian isterinya Wong Siew Fing, 47, dan anak kedua mereka Lily Khaw, 16, menggunakan bola yoga diisi karbon monoksida yang bocor.

South China Morning Post melaporkan, Khaw, 60, pada mulanya didapati bersalah atas dua tuduhan bunuh pada 2018.

Pada 2023, Mahkamah Rayuan Akhir Hong Kong menterbalikkan sabitannya dan mengarahkan perbicaraan semula di Mahkamah Tinggi, selepas mendapati hakim perbicaraan telah memberi salah arahan kepada juri pada 2018.

Khaw, yang prosiding baru bermula pada November lalu, mewakili dirinya sendiri selepas memecat peguamnya tidak lama selepas perbicaraan semula berlangsung.

Dalam keterangan di kandang saksi Khaw memberitahu tujuh ahli juri bahawa dia membeli karbon monoksida itu untuk eksperimen dalam makmal.

Pada 22 Mei 2015, Wong dan Lily ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta Mini Cooper berkunci yang dihentikan di Sai Sha Road. Mereka kemudian meninggal dunia di hospital.

Berdasarkan laporan post mortem, mereka didapati mati akibat menghidu karbon monoksida. Bola yoga diisi gas beracun itu ditemui dalam but kereta dan dikenal pasti sebagai sumber keracunan berkenaan.

Menurut laporan berita, Khaw mengarahkan pembantunya mendapatkan gas itu beberapa hari sebelumnya. Dia kemudian mengisi dua bola yoga dengan gas berkenaan, kononnya untuk tujuan ujian makmal, tetapi kemudian membawa bola berkenaan pulang.

Dia mendakwa merancang menggunakan gas itu dalam kawalan haiwan perosak.

Khaw berkata, dia tidak memasukkan bola yoga itu dalam kenderaan berkenaan yang secara membayangkan kematian isteri dan anaknya bukan disengajakan.

Mahkamah ketika perbicaraan mendengar keterangan mengenai masalah perkahwinan pasangan itu, selain dakwaan Khaw mempunyai hubungan sulit dengan seorang pelajar.

Khaw pernah menjadi profesor madya di jabatan bius dan penjagaan rapi CUHK selain pegawai kanan di Hospital Prince of Wales di Sha Tin.

Dia mempunyai dua lagi anak perempuan, dan seorang anak lelaki. Ketika kejadian, anak perempuan sulungnya berusia 22 tahun pelajar perubatan di Malaysia manakala dua yang lain bersekolah di Hong Kong.

Tiada ulasan: