"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru didakwa 5 tuduhan amang seksual fizikal pelajar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba kemaluan dua pelajar lelaki.

Tertuduh, Mohamad Fuad Abd Wahab, 33, membuat pengakuan itu terhadap semua pertuduhan dibacakan jurubahasa menerusi dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah dan Hakim Haderiah Siri, menurut Sinar Harian.

Mengikut semua kertas pertuduhan, dia didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki masing-masing berusia 16 tahun dengan cara meraba kemaluannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tiga lokasi berbeza sekitar Batu Berendam, termasuk dalam bilik pengawas sebuah sekolah menengah, dalam kereta miliknya berdekatan stesen minyak dan di bilik sebuah rumah di Taman Sutera Wangi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara kira-kira 8 pagi 1 Nov 2022 hingga 11.30 malam, 18 Sept 2023.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama, memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azfar Mahmud dan Muhamad Ali Hussain masing-masing mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Muhammad Ali turut mencadangkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan perlu melapor diri setiap awal bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi yang mewakili tertuduh, masing-masing merayu denda minimum dengan alasan anak guamnya bergaji rendah dan perlu menyara ibu bapa sedang sakit.

Tiada ulasan: