KOSMO
Bomba dan beberapa penduduk memadamkan kebakaran sebuah rumah. - Tribun Jatim
JAKARTA – Seorang lelaki di Probolinggo, wilayah Jawa Timur nekad membakar rumahnya sendiri selepas bertengkar dengan isterinya, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kraksaan, Inspektor Djuwantoro Setyowadi, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran pada Isnin lalu sekitar pukul 11. 40 malam (waktu tempatan).
Katanya, beberapa jiran memberitahu bahawa suspek, Azhariansyah dan isterinya, Listi Anggraeni bergaduh sebelum kebakaran sekitar pukul 8 malam (waktu tempatan).
“Isterinya terlalu takut sehingga meminta bantuan jiran untuk menghantarnya ke rumah seorang rakan di Pajarakan,” kata Djuwantoro.
Tambahnya, sejam selepas Listi keluar dari rumah, wanita itu mendapat tahu daripada seorang jiran bahawa rumahnya terbakar.
“Ia dipercayai dilakukan oleh si suami dengan motif masalah keluarga sehingga membuatkan dia berasa marah.
“Selepas membakar rumah, dia melarikan diri,” kata Djuwantoro.
Katanya, siasatan lanjut mendapati Listi sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Nilai kerugian dalam kebakaran tersebut adalah kira-kira 100 juta rupiah (RM27,000). – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan