"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami isteri didakwa tipu umrah direman 3 hari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pasangan suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat pelancongan direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penipuan pakej umrah.

Peguam pasangan itu, Iman Norhizam berkata enam pekerja syarikat itu turut direman tiga hari bagi membantu siasatan polis, lapor Berita Harian.

Katanya, Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan reman terhadap semua individu itu selama tiga hari hingga Sabtu ini.

Semalam, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan dilaporkan berkata pasangan itu ditahan di Kuala Lumpur susulan dakwaan gagal menerbangkan jemaah umrah.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Selangor turut menyerbu pejabat syarikat itu dan merampas beberapa unit komputer, pasport dan dokumen berkaitan untuk tujuan siasatan.

Hussein berkata penahanan pasangan berusia 31 tahun itu dilakukan setelah pihaknya menerima satu laporan polis di Sepang berkaitan kes penipuan umrah melibatkan syarikat terbabit.

Semakan lanjut mendapati seramai 379 mangsa berurusan dengan syarikat berkenaan dan turut terkandas untuk mengerjakan umrah pada Isnin lalu melibatkan anggaran kerugian RM2.1 juta.

Katanya, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada Isnin lalu, FMT melaporkan kira-kira 50 mangsa ‘berkampung’ di luar premis syarikat di Sepang bagi menuntut kembali wang mereka.

Seorang mangsa Azieda Azhar berkata dia dan suaminya mengambil pakej ‘cinta’ berjumlah RM11,000 dan mereka sepatutnya berlepas menunaikan umrah pagi tadi (Isnin).

“Sehingga kini kami belum dapat apa-apa penjelasan daripada pemilik. Sekarang kami nak dapatkan bayaran balik sahaja. Tapi, bayaran balik tu macam tipis nak dapat kerana pemilik tak dapat dihubungi, pegawai dia hubungi pemilik pun tak dapat,” katanya kepada FMT.

Tiada ulasan: