Agensi
Jakarta: Akibat bunyi bising motosikal, seorang lelaki cedera ditikam jirannya dalam kejadian di Jalan Kerendang Tengah, Tambora, Jakarta Barat, semalam.
CNN Indonesia melaporkan, kejadian berlaku ketika lelaki berusia 39 tahun itu memanaskan motosikalnya sekitar 11.50 malam waktu tempatan.
Difahamkan, lelaki itu merancang menjual motosikal melalui transaksi COD (Cash on Delivery atau bayaran ketika penerimaan) dengan pembeli.
Ketika kejadian, seorang jiran berang dengan tindakan lelaki itu sebelum bertelingkah dan bertindak menikamnya.
Dalam kes ini, polis sudah menahan dua individu yang dikenali sebagai MAR dan MAN, masing-masing berusia 34 tahun dan 21 tahun.
Ketua Polis Tambora Komisioner Polis Donny Agung Harvida, dalam kenyataannya pada hari ini berkata, tindakan mangsa memanaskan motosikalnya mendapat bantahan keras daripada jirannya, suspek dikenali sebagai MAR.
"Suspek MAR menjerit kepada mangsa sambil berkata, 'Hoi, jangan ganggu, ini bising!'" katanya.
Pada masa itu, mangsa cuba menjelaskan kepada MAR bahawa sebelum ini tiada penduduk lain yang pernah 'menegur' perbuatannya itu, namun MAR tetap meneruskan protesnya.
Keadaan menjadi serius apabila insiden itu menyebabkan mangsa ditikam dan dirujuk ke Hospital Tarakan.
Selepas kejadian, keluarga mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Selepas penyiasatan dijalankan, polis berjaya menahan kedua-dua suspek di dua lokasi berasingan.
"MAN sempat melarikan diri ke kawasan Banten sebelum kembali ke Jakarta dengan niat untuk meminta maaf kepada mangsa.
"Namun, sebelum niat itu terlaksana, suspek ditangkap oleh polis," jelas Donny.
Kedua-dua suspek didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan kekerasan secara bersama-sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan