"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MACUA dedah rakaman pelombong, mayat terperangkap dalam lombong

BHarianonline 
Tangkap layar video daripada kumpulan perlombongan Afrika Selatan menunjukkan barisan mayat di lombong Stilfontein, dibalut dengan kain. - Foto REUTERS
Tangkap layar video daripada kumpulan perlombongan Afrika Selatan menunjukkan barisan mayat di lombong Stilfontein, dibalut dengan kain. - Foto REUTERS
JOHANNESBURG: Selepas dua bulan lombong di Afrika Selatan diserbu polis, kumpulan bekerja bagi pihak premis itu mendakwa sekurang-kurangnya 400 pelombong haram masih terperangkap di bawah tanah.

Kumpulan itu semalam, turut mendedahkan rakaman puluhan mayat serta beberapa lelaki dilihat terlalu kurus yang terperangkap di premis terbabit.

Rakaman pertama menunjukkan timbunan mayat pelombong dibalut dengan kain dalam guni dan plastik, manakala mangsa yang masih terperangkap di bawah tanah merayu untuk bantuan.

Video kedua pula menunjukkan pelombong tanpa baju, kelihatan sangat kurus, selain tulang rusuk mereka yang menonjol.

Dua rakaman terbabit diperoleh kumpulan hak pelombong Afrika Selatan, Mining Affected Communities United in Action (MACUA), semalam.

Mereka menerima video itu daripada pelombong yang keluar dari lombong emas di wilayah barat laut pada 10 Januari, apabila takal ke dasar gua terbabit dipulihkan.

Jurucakap MACUA, Magnificent Mndebele, berkata lebih 400 pelombong masih menunggu untuk diselamatkan selepas jarak tempuh selama dua bulan akibat tindakan polis Afrika Selatan.

Beliau mendakwa, ada pihak merosakkan sistem takal diguna untuk menurunkan bekalan kepada pelombong dan membolehkan mereka keluar, tetapi ia sudah dipulihkan MACUA, Jumaat lalu.

"Mustahil untuk mereka memanjat keluar kerana kedalaman terowong ini adalah dua kilometer," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Sumber Mineral dan Tenaga, Makhosonke Buthelezi, berkata mayat berjaya dikeluarkan dari lombong terbabit, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut sebelum laporan rasmi dikeluarkan.

Beliau berkata, pihak berkuasa Afrika Selatan bersama jenteranya kini berada di lombong itu, bersedia untuk menjalankan operasi penyelamatan yang dirancang minggu ini.

"Komuniti sudah memasang sistem takal, tetapi ia digantikan dengan jentera digunakan perkhidmatan penyelamat lombong yang menerima kontrak oleh Jabatan Sumber Mineral dan Tenaga," katanya.

Polis pula berkata, mereka menyekat bekalan makanan dan air kepada pelombong untuk memaksa mereka keluar, sebelum menahan kumpulan itu kerana masuk ke lombong ditinggalkan secara haram untuk mencari sisa emas.

Ia adalah sebahagian daripada tindakan keras terhadap pelombong haram yang membelenggu Afrika Selatan sejak beberapa dekad lalu.

Jurucakap Perkhidmatan Polis Afrika Selatan bagaimanapun enggan mengulas perkara itu. - REUTERS

Tiada ulasan: