Guna wang masjid RM115,000, kerani bank mengaku tak salah
Bernama
Kerani bank itu didakwa guna wang milik Masjid Kampung Paya untuk kegunaan sendiri.
ALOR SETAR: Kerani bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah wang akaun masjid berjumlah RM115,900, tiga tahun lalu.
Mohd Abd Rahman Hamzah, 41, didakwa sebagai seorang kerani tingkatan biasa yang diamanahkan wang dalam akaun milik Masjid Kampung Paya, telah melakukan pecah amanah dengan menjadikannya untuk kegunaan sendiri antara 23 Mac hingga 26 Julai 2022 di Bank Rakyat Cawangan Kuala Nerang.
Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ab Rashid mencadangkan jaminan RM60,000, namun peguam Ilyana Syafiqa Md Saad yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.
Hakim Mazdi Abdul Hamid kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkannya melapor diri setiap bulan di balai polis serta menyerahkan pasport dan menetapkan 16 Feb ini untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan