FMT Reporters
PETALING JAYA: Imam sebuah masjid di Kangar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas tujuh tuduhan menerima suapan RM26,300 sebagai upah memproses pendaftaran pasangan bernikah di Thailand di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Harian Metro melaporkan Mohd Isa Abdul Karim, 53, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Dia didakwa menerima suapan wang berjumlah RM26,300 melalui akaun bank ABM Success Empire sebagai upah memproses Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara JAIPs ke atas tujuh pasangan yang tidak mengikut prosedur bawah Enakmen 7 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2006.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara 5 Dis 2022 hingga 24 Okt 2023 di sebuah bank di Jalan Besar, Pekan Kuala Perlis. Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama
Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pegawai Pendakwa SPRM Perlis, S Sujatha memohon mahkamah mengenakan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan tertuduh menyerahkan pasportnya serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Perlis sebelum atau pada 15 hari bulan setiap bulan.
Tetapi, peguam Ariff Azami Hussein merayu anak guamnya diberikan ikat jamin rendah RM10,000 kerana dia menghadapi tuduhan suapan kurang RM30,000 dan perlu menyara isteri serta sembilan anak dengan enam masih bersekolah.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Perlis sebelum atau pada 15 hari bulan setiap bulan.
Tertuduh kemudian membayar jaminan itu.
Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan JAIPs dan imam sebuah masjid di Kangar ditahan SPRM Perlis pada 5 Jun 2024 bagi membantu siasatan kes penerimaan suapan RM1.183 juta dalam urusan pendaftaran pernikahan di negeri itu sejak April 2022 hingga Jun 2023.
Turut ditahan ialah anak imam masjid itu yang juga pemilik syarikat perunding dalam urusan pernikahan di Perlis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan