"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja parah disyaki dibakar bapa kandung

Agensi

Jakarta: Kejadian tragik menimpa remaja perempuan di Sumatera Selatan, Indonesia selepas badannya melecur, disyaki disimbah petrol dan dibakar bapa kandungnya sendiri.

Portal Kompas melaporkan, mangsa berumur 14 tahun diperlakukan begitu oleh bapanya dikenali Alimun Jaya, 36, selepas didakwa mencuri wang neneknya.

Pegawai Perhubungan Awam Polis Muara Enim, RTM Situmorang berkata, kejadian berlaku di Kampung Prabumenang, Lubai Ulu di Muara Enim pada Jumaat lalu, yang bermula selepas ibu suspek mengadu wang Rp100,000 (RM28) hilang.

Tanpa siasat, suspek menuduh anaknya mengambil wang itu dan bertambah berang apabila mangsa menafikannya.

"Suspek memukul hingga mangsa menangis dan kerana dia masih tidak mengaku, suspek mengambil botol disyaki berisi minyak dan menjirus ke tubuh anaknya," kata Situmorang pada Sabtu.

Tidak berhenti di situ, Alimun didakwa mengeluarkan mancis dan mengugut untuk membakar mangsa jika dia masih tidak mengaku.

Bagaimanapun percikan api mancis itu dengan cepat menyambar tubuh mangsa menyebabkan dia terbakar.

"Suspek yang panik berusaha memadamkan api dengan menanggalkan pakaian mangsa.

"Walaupun tindakan itu dapat memadamkan kebakaran, mangsa tetap mengalami kecederaan lecur yang teruk, manakala suspek lecur sedikit di tangan," kata Situmorang.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Daerah Baturaja oleh keluarganya untuk rawatan dan polis menahan suspek selepas menerima laporan kejadian.

"Sehingga kini mangsa masih dalam rawatan," tambahnya.
-hmetro 

Tiada ulasan: