"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terbaru: Bendera China ketika perarakan naga

Bendera China ketika perarakan naga, polis siasat penganjur

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
BENDERA China terpampang pada badan naga ketika perarakan di bandar Muar, semalam. FOTO tular.
BENDERA China terpampang pada badan naga ketika perarakan di bandar Muar, semalam. FOTO tular.
Muar: Tiga kertas siasatan dibuka susulan terdapat bendera China yang dipamerkan pada replika naga ketika perarakan kebudayaan di bandar ini hingga tular di media sosial.

Dalam perarakan sempena ulang tahun ke-20 gabungan persatuan Tionghua daerah itu, ia mempersembahkan tarian singa dan replika naga terpanjang di Malaysia di beberapa jalan utama.

Namun, terdapat bendera China selain Jalur Gemilang dikesan pada replika naga terbabit sebelum ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, bendera itu dikesan ketika pemantauan polis semasa perarakan berlangsung pada jam 6.10 petang semalam.

Beliau berkata, pihaknya mendapati replika naga dihias dengan Jalur Gemilang di sebelah kanan manakala bendera China diletakkan sebelah kiri badan naga terbabit.

"Rakaman video dan gambar mengenai perarakan itu turut dikesan dan tular di beberapa platform media sosial sejak semalam.

"Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mengambil tindakan proaktif dengan membuka kertas siasatan pada hari sama kejadian dilaporkan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan; Seksyen 6 (2) Akta Perhimpunan Aman 2021 dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Raiz berkata, pihak penganjur program dan saksi kejadian juga dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.

Pada masa sama, katanya, polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

Kejadian ini adalah kedua dalam tempoh kurang sebulan selepas perkara sama berlaku ketika festival lampu LED di Bukit Gambir, Tangkak, hujung bulan lalu.

Bendera China dikesan pada replika roket selepas aduan penduduk dengan dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tiada ulasan: