Harapandaily
Sebanyak 14 keluarga Orang Asli di Hutan Simpan Bukit Bauk berdekatan Kampung Durian Mentangau di Dungun hidup dalam keresahan lantaran diusir dari tanah kerajaan negeri Terengganu.
Penduduk yang terdiri daripada 51 penghuni itu merupakan suku Semoq Beri, Jakun dan Temiar yang menyara hidup dengan mencari rotan dan akar kayu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Hanafiah Mat dilapor berkata, penduduk Orang Asli berkenaan perlu mengosongkan kawasan yang terletak di atas tanah kerajaan negeri itu.
Hanafiah yang juga Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Pas Terengganu berkata, kawasan tersebut dikenal pasti sebagai tapak cadangan pembinaan Kolej Al-Quran Terengganu.
Menurutnya, dipetik laporan Bernama, kerajaan negeri tidak dapat mempertimbangkan permohonan bekalan air bersih serta elektrik di perkampungan itu selagi status tanah tersebut kekal milik kerajaan negeri.
Masa depan
Sementara itu, Tok Batin Anuar Bakung, 58, berkata, mereka yang mendiami kawasan tersebut sejak 2016 kini bimbang mengenai masa depan keluarga masing-masing selepas menerima surat arahan daripada Pejabat Tanah Dungun pada 15 Julai 2025.
Kandungan surat itu mengarahkan penduduk terbabit mengosongkan tanah kerajaan berkenaan dalam tempoh 90 hari dari tarikh surat dikeluarkan.
Bernama melaporkan sebanyak 14 rumah di perkampungan Orang Asli berkenaan turut dipasang notis amaran yang melarang pendudukan tanah kerajaan di sekitar kawasan itu.
Menurut Anuar, penduduk telah mengemukakan permohonan kepada Pejabat Tanah Dungun pada 10 Jun 2025 bagi mendapatkan kebenaran menduduki kawasan berkenaan.
Permohonan itu dibuat sementara menunggu kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang sedang diusahakan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Terengganu.
Anuar dilapor berkata, kesemua keluarga berkenaan mendiami rumah yang dibina oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO), iaitu Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia, pada tahun lalu dan dilengkapi kemudahan asas termasuk lampu solar.
Sementara itu, wakil Insaf Malaysia, Othman Omar, berkata NGO itu telah membelanjakan kira-kira RM560,000 bagi pembinaan 14 buah rumah tersebut serta merancang untuk memohon kemudahan bekalan air bersih dan elektrik bagi kegunaan penduduk.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan