"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuduhan rasuah Chegubard: Pegawai kanan tentera repot polis

FMT Reporters

Penolong Ketua Staf (risikan) Tentera, Faridhulathroth Hashim nafi tuduhan rasuah, salah guna kedudukan dan wujudnya 'rumah selamat'.
Faridulatroth Hashim
Penolong Ketua Staf (risikan) Tentera, Faridhulathroth Hashim berkata peguamnya akan menghantar surat tuntutan kepada Badrul Hisham Shaharin dan bawa perkara itu ke mahkamah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan angkatan tentera buat laporan polis dan memulakan tindakan undang-undang terhadap aktivis Badrul Hisham Shaharin, atau dikenali sebagai Chegubard, berhubung beberapa dakwaan yang disebarkan di media sosial.

Mejar Jeneral Faridhulathroth Hashim, berkata Badrul menyiarkan beberapa hantaran di Facebook sejak 31 Dis yang mengandungi tuduhan ‘palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah’ sehingga merosakkan reputasinya secara serius.

Katanya, tuduhan itu termasuk rasuah, salah guna kedudukan, sumber awam dan terlibat dalam ‘operasi sulit’ yang menyalahi undang-undang, serta kewujudan apa yang digelar sebagai ‘rumah selamat’ bagi menyimpan sejumlah besar wang tunai.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan ini. Saya telah melaksanakan tugas saya sebagai penolong ketua staf (risikan) dengan penuh ketekunan, menurut undang-undang dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan.

Faridhulathroth berkata peguamnya akan menghantar surat tuntutan kepada Badrul dan beliau juga mahu membawa perkara itu ke mahkamah.

“Oleh itu, saya menggesa orang ramai agar tidak berkongsi semula kandungan daripada Badrul kerana ia bukan sahaja palsu, malah kini menjadi subjek siasatan polis,” katanya.

Dalam satu hantaran media sosial pada 31 Dis, Badrul menuduh beberapa pegawai kanan tentera melakukan salah laku yang dikaitkan dengan tender perolehan dan risikan tentera.

Antara yang dinamakan ialah Presiden Pusat Pendidikan Pertahanan Nasional, Sabri Zali, seorang laksamana madya, yang secara terbuka menafikan dakwaan tersebut dan memfailkan saman terhadap Badrul.

Berita Harian melaporkan bahawa 18 tuntutan sivil terhadap Badrul difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguam Sabri, Fridaus Jumaluddin, berkata saman itu difailkan selepas Badrul gagal menarik balik kenyataan berunsur fitnah dan terus menyebarkan dakwaan palsu yang menjejaskan reputasi Sabri.

Tiada ulasan: