Asrol Awang

Seorang pegawai polis wanita berpangkat inspektor bersama adik lelakinya direman lima hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM30,000. – Foto SPRM Pahang
KUANTAN: Pegawai polis wanita berpangkat inspektor bersama adik lelakinya direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM30,000.
Ia dipercayai sebagai balasan melepaskan individu yang terbabit dalam kes jenayah narkotik.
Perintah reman selama lima hari sehingga 24 Januari ini dikeluarkan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhari selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini.
Menurut sumber, dua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an itu ditahan pada 4.30 petang dan 9 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM di sini.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2021 hingga 2025, dengan wang rasuah diterima didakwa antara RM1,000 hingga RM7,000 setiap bulan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik suspek lelaki,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan