"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 pegawai Imigresen, pemilik kedai terlibat ‘counter setting’ didakwa di mahkamah

Izz Laily Hussein
(dari kiri) Hairizam Mohamed, Ridzal Mohd Yasin, Md Azhar Jamal dan Haslan Hazilah – FOTO NSTP
JOHOR BAHRU: Tiga Pegawai Imigresen Gred KP2 serta seorang pemilik kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan rasuah membabitkan isu ‘counter setting’ di Terminal Feri Pasir Gudang dan Terminal Feri Muar, antara tiga tahun lalu hingga tahun lalu.

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan yang dihadapi mereka secara berasingan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Tertuduh pertama, Md Azhar Jamal, 40, yang bertugas di Pejabat Imigresen Pasir Gudang didakwa bagi 14 pertuduhan bersetuju menerima suapan antara RM400 hingga RM4,500 yang keseluruhannya berjumlah RM28,600 tanpa balasan daripada seorang wanita secara pindahan dalam talian daripada akaun bank milik wanita itu.

Perbuatan itu mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh yang bertanggungjawab menyemak dan memastikan dokumen perjalanan warga asing untuk tujuan keluar masuk ke Malaysia adalah sah.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Simpang Renggam, Kluang, antara 16 Julai 2024 hingga 24 Februari 2025 itu, lelaki terbabit didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh kedua, Ridzal Mohd Yasin, 43, yang bertugas di Pusat Pemeriksaan Imigresen Pintu Keluar Masuk Laut (Jeti) Terminal Pasir Gudang pula, didakwa bagi dua pertuduhan secara rasuah menerima suapan wang tunai berjumlah RM1,700 daripada seorang ejen tiket sebuah syarikat.

Perbuatan itu didakwa masing-masing sebagai dorongan untuk memudahcara urusan kemasukan pengembara warga Indonesia ke Malaysia dan untuk tidak melakukan pemeriksaan yang menyeluruh ke atas dokumen perjalanan warga Indonesia.

Ia didakwa dilakukan di sebuah tandas berhampiran kaunter Imigresen Terminal Feri Pasir Gudang di sini, pada sekitar April 2023 dan Ogos 2023.

Seorang lagi penjawat awam yang bertugas di Bahagian Kawalan Operasi (Laut), Terminal Feri Pasir Gudang, Hairizam Mohamed, 58, didakwa secara rasuah menerima wang sebanyak RM100 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuknya bagi memudahcara urusan kemasukan pengembara warga Indonesia ke Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Imigresen Pasir Gudang di sini, kira-kira jam 7 petang, 28 Ogos 2024.

Pemilik kedai makan, Haslan Hazilah, 57, pula didakwa secara rasuah menerima suapan iaitu wang tunai RM1,200 daripada seorang lelaki sebagai dorongan orang tengah untuk membantu memudahcara urusan keluar masuk pengembara warga Indonesia ke Malaysia melalui Terminal Feri Muar di sebuah kedai makan di Muar, pada 11 November 2024.

Bagi perbuatan menerima rasuah itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum dua puluh tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Ameera D’Aneez Mohd Shukari; Fazal Lisam Abidin dan Muhd Faizul Kamaro Zaman.

Manakala, Md Azhar diwakili peguam Abd Rahim Ali; Ridzal diwakili peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri; Hairizam pula diwakili peguam Suhaila Shafi’uddin dan Haslan diwakili peguam Nurashidah Md Razip.

Mahkamah kemudian membenarkan Md Azhar diikat jamin sebanyak RM10,000; manakala Ridzal, Hairizam dan Haslan masing-masing dibenarkan ikat jamin RM8,000 serta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 24 dan 25 Februari depan.

Tiada ulasan: