"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi beri amaran risiko kerjasama Madani Mart dengan kementerian, Jualan Rahmah

N Faizal Ghazali

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli memberi amaran bahawa pembukaan kedai runcit Madani Mart oleh Yayasan Madani boleh menimbulkan kebimbangan tertentu kerana ia melibatkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang juga bertanggungjawab dengan program Jualan Rahmah.

Rafizi menyorot bahawa, ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Madani terdiri daripada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh; seorang setiausaha politik perdana menteri dan seorang setiausaha politik menteri kewangan - dipercayai merujuk kepada Farhan Fauzi dan Kamil Munim, berdasarkan laman web Yayasan Madani.

Kata Rafizi, konsep perniagaan Madani Mart oleh Yayasan Madani itu secara jelas menggambarkan ia adalah usaha kerajaan.

“Walaupun Fuziah kata dia (Madani Mart) tidak melibatkan wang kerajaan, tapi kalau semak lagi, dia (Fuziah) kata ini kerjasama strategi dengan KPDN dan melibatkan Jualan Rahmah.

“Jadi saya fahamlah risiko-risikonya kerana Jualan Rahmah ini melibatkan peruntukan beratus-ratus juta ringgit setahun, pembekal-pembekal berebut-rebut untuk menjadi pembekal untuk Jualan Rahmah kerana bila dia jual kepada kerajaan, dia dapat harga biasa, mungkin harga yang lebih tinggi pun.

“Tapi bila dijual kepada orang ramai tu, setiap satu kilogram (misalnya) itu kemudian diberikan subsidi oleh kerajaan.

“Jadi bila Madani Mart ini diusahakan oleh timbalan menteri KPDN (Fuziah) yang bertanggungjawab dengan Jualan Rahmah, ada risiko besar kerana kerjasama strategik itu bermakna timbul risiko,” katanya kepada media pada majlis Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pandan di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan pembukaan Madani Mart pertama di Indera Mahkota, Kuantan di Pahang.

Pada majlis itu, Jualan Rahmah turut berlangsung sempena pembukaan cawangan pertama Madani Mart.

Fuziah sebelum ini berkata untuk Madani Mart, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang modal bagi pembukaan cawangan pertamanya.

Dia turut memberitahu pihaknya menyasarkan pembukaan berperingkat model perniagaan itu sehingga 640 unit di seluruh negara.

Tak adil kepada peniaga runcit lain

Mengulas lanjut Rafizi berkata antara senario lain yang dibimbanginya adalah apabila pembekal Jualan Rahmah disyaratkan untuk menjadi pembekal barangan Madani Mart pada harga yang murah.

“Yang itu dah tak adil, itu dah ada unsur-unsur yang boleh dipersoalkan. Sama juga contohnya, kalau Jualan Rahmah itu adalah daripada peruntukan kerajaan dan dia sepatutnya cuba dijual di seberapa banyak tempat yang boleh, lebih banyak tempat lebih baik.

“Kalau Jualan Rahmah itu adalah di Madani Mart, ia tidak adil kepada penjual-penjual lain. Kerana kerajaan memilih untuk menyalurkan subsidi dan peruntukan Jualan Rahmah itu kepada kedai-kedai yang dimiliki oleh Yayasan Madani yang diusahakan oleh tiga orang pemimpin PKR ini.

“Jadi ini adalah perkara-perkara yang saya ingat kalau orang nak tanya, wajar ditanyalah,” jelasnya.

Tambahnya, pelaksanaan Madani Mart perlu dipastikan tidak ada sebarang unsur-unsur tersebut, termasuk memastikan peruntukan Jualan Rahmah tidak bercampur ataupun pembekalnya tidak disyaratkan untuk menjadi pembekal kepada Madani Mart.

“Sebab untuk mengusahakan sesuatu kedai runcit pada harga jualan yang rendah sangat susah kerana kita terpaksa bersaing dengan rangkaian macam Speed Mart. Speed Mart ini, dia beli gudang dia tak beli karton.

“Apabila dia beli gudang, maka dia boleh beli pada harga yang sangat rendah. Jadi tidak adil kepada rangkaian-rangkaian kedai rucit yang lain atau kedai biasa kerana mereka terpaksa beli pada harga yang mahal dan margin yang rendah untuk jual kepada orang ramai.

“Tapi bila ada Madani Mart, kalau ia bersahabat dengan pembekal Jualan Rahmah ataupun disyaratkan Jualan Rahmah mesti dibuat di Madani Mart, maksudnya wujud unfair advantage (kelebihan tidak adil) dalam keadaan kedai-kedai itu sebenarnya dimiliki dan berkait rapat dengan PKR,” tegas Rafizi lagi.

“Tapi bila ada Madani Mart, kalau ia berkait dengan pembekal Jualan Rahmah ataupun disyaratkan Jualan Rahmah mesti dibuat di Madani Mart, maksudnya wujud unfair advantage (kelebihan tidak adil) dalam keadaan kedai-kedai itu sebenarnya dimiliki dan berkait rapat dengan PKR,” tegas Rafizi lagi.

Tiada ulasan: