Agensi

MARGARET Connolly. FOTO https://www.currentaffairs.org
London: Adik perempuan Presiden Ireland, Catherine Connolly, antara lapan warga Ireland yang didakwa diculik di perairan antarabangsa oleh Israel dari kapal flotila bantuan menuju ke Gaza, menurut penganjur pada Isnin.
Kapal Global Sumud Flotilla (GSF) adalah yang terbaharu dalam beberapa siri cubaan aktivis untuk memecahkan sekatan haram Israel terhadap wilayah pesisir Palestin itu.
Difahamkan, kira-kira 50 kapal berlepas dari barat daya Turkiye pada Khamis.
Kumpulan itu di platform X mendakwa, pendudukan Israel sekali lagi secara haram dan ganas memintas armada antarabangsa kapal kemanusiaan mereka serta menculik sukarelawan terbabit.
Margaret Connolly, seorang doktor warga Ireland dan saudara perempuan Connolly, antara individu yang didakwa 'diculik secara haram' oleh Israel.
Susulan itu, Connolly, yang dalam lawatan ke United Kingdom (UK) berkata, kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan di London dengan Raja Charles III bahawa berita itu 'menyedihkan'.
Beliau berkata, dirinya sangat bimbang terhadap saudara perempuannya dan juga prihatin terhadap rakan-rakan wanita itu di atas kapal.
Video dimuat naik penganjur di media sosial menunjukkan Margaret dan lima individu lain dipercayai dirakam sebelum mereka ditahan.
Dalam videonya, Margaret berkata, jika video itu ditonton, ia bermakna dirinya sudah diculik dari bot dalam flotila itu oleh tentera pendudukan Israel.
Penganjur berkata, lapan rakyat Ireland ditahan secara haram dalam operasi itu.
"Penyertaan Margaret dalam flotila itu adalah keputusan dia sendiri dan tidak berkaitan dengan Connolly," katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Jordan, Indonesia, Sepanyol, Pakistan, Brazil, Bangladesh, Turkiye, Colombia, Libya dan Maldives mengecam sekeras-kerasnya serangan baharu Israel terhadap GSF.
Mereka turut menggesa pembebasan segera semua aktivis yang ditahan serta penghormatan penuh terhadap hak dan maruah mereka.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan