AFP

GIORGIA Sommacal (kiri) dan ibunya, Monica Montefalcone. FOTO UniversitI Genoa/ Albatros Top Boat
Male: Operasi antarabangsa berjaya menemukan mayat dua penyelam warga Itali dari sebuah gua bawah laut pada Selasa, lima hari selepas sekumpulan lima individu lemas dalam tragedi menyelam terburuk di Maldives, kata seorang pegawai kerajaan.
Ketua jurucakap kerajaan, Mohamed Hussain Shareef berkata, dua mayat itu dibawa naik ke permukaan di Vaavu Atoll, selatan ibu negara Male, lokasi kumpulan berkenaan melakukan selaman pada Khamis lalu.
Beliau berkata, dua lagi mayat masih belum ditemukan dari gua sama dan pelan sudah disusun untuk membawa mereka ke permukaan pada Rabu.
"Dua mayat yang dibawa naik ke permukaan dari gua pada kedalaman 60 meter (m) kini akan dipindahkan ke Male," katanya.
Difahamkan, mayat seorang anggota kumpulan selaman itu ditemukan pada Khamis lalu, manakala seorang anggota penyelamat Pasukan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF) turut maut akibat komplikasi penyahmampatan pada Sabtu.
Itali memulakan usaha pencarian antarabangsa selepas kematian penyelam MNDF, Staf Sarjan Mohamed Mahudhy pada Sabtu memaksa pihak berkuasa tempatan menggantung operasi pencarian.
Australia dan United Kingdom (UK) turut memberikan bantuan, manakala keempat-empat mayat itu dikesan pada Isnin.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Maldives masih belum mengenal pasti identiti mangsa warga Itali terbabit.
Sementara itu, Universiti Genoa di Itali berkata, mangsa termasuk profesor biologi marin, Monica Montefalcone, anak perempuannya Giorgia serta dua penyelidik muda.
Akhbar harian Itali, Corriere della Sera memetik universiti itu sebagai berkata, aktiviti selam skuba ketika kemalangan berlaku bukan sebahagian daripada aktiviti yang dirancang dalam misi saintifik itu, sebaliknya dilakukan atas kapasiti peribadi.
Suami Montefalcone, Carlo Sommacal bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan universiti itu dan menegaskan isterinya bukan seorang yang cuai serta tidak akan meletakkan anak perempuan mereka dalam bahaya.
Menurut media sama, Maldives tidak membenarkan pelancong menyelam melebihi kedalaman 30 m.
Susulan itu, pihak berkuasa Maldives menggantung lesen operasi bot selam yang digunakan penyelam Itali itu sementara siasatan dijalankan.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan