"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru wanita dituduh lakukan amang seksual terhadap anak murid 14 tahun

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
NURUL Asyikin Sutan Shahril (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak murid lelakinya yang berusia 14 tahun sejak tahun lalu. FOTO Ahmad Hasbi
NURUL Asyikin Sutan Shahril (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak murid lelakinya yang berusia 14 tahun sejak tahun lalu. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Guru wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak murid lelakinya yang berusia 14 tahun sejak tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Asyikin Sutan Shahril, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Aishah Ab Rashid.

Mengikut tiga pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah dengannya sebagai guru kelas.

Perbuatan itu dilakukan di bawah pokok di hadapan Taman Apartment Arowana Seremban 2 dan di sebuah rumah di Taman Nusa Intan, di sini, antara 12 September 2025 hingga 7 April 2026.

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 akta yang sama dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen-seksyen itu.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 Akta 792 dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen-seksyen itu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 16, boleh dipenjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama masing-masing dengan cara menunjukkan gambar alat sulitnya melalui WhatsApp bagi maksud seksual dan mendorong mangsa menghantar gambar sama antara 13 September 2025 hingga 10 April 2026 di sebuah bilik apartmen di Seremban 2.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(a)(i) dan Seksyen 15(a)(ii) Akta 792 dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 akta yang sama, dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen-seksyen itu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan, tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport.

Peguam, Zaflee Pakwanteh memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya bekerja sebagai guru dengan pendapatan RM6,000 sebulan.

Menurutnya, tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai dua anak selain memaklumkan jumlah jaminan yang mampu dibayar anak guamnya adalah sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Zaflee turut memaklumkan tertuduh sudah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah selepas laporan polis dibuat terhadapnya.

Turut hadir pada prosiding itu adalah peguam pemerhati, Nurul Ain Syamimie Anuar yang mewakili firma guaman Zahid Ahmad & Associates.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM25,000 bagi semua pertuduhan dengan tiga syarat tambahan dimohon oleh pihak pendakwaan.

Tiada ulasan: