KOSMO!

Kegiatan berkenaan terbongkar menerusi serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur ke atas empat gerai dan sebuah premis stor kira-kira pukul 11 pagi.
Lebih 5,400 jersi tiruan Piala Dunia dirampas KPDN dalam serbuan di Jalan Petaling, semalam.
KUALA LUMPUR – Segelintir warga asing dipercayai mengaut keuntungan lumayan dengan menjual pelbagai jersi tiruan termasuk jersi pasukan Piala Dunia 2026 pada harga berlipat kali ganda kepada pelancong di Jalan Petaling, di sini, semalam.
Kegiatan berkenaan terbongkar menerusi serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur ke atas empat gerai dan sebuah premis stor kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd. Arshad berkata, siasatan awal mendapati setiap gerai mampu menjual sehingga 100 helai jersi tiruan sehari pada harga bermula RM50 hingga lebih RM100, terutama kepada pelancong asing.
“Kami menyita sebanyak 5,403 helai jersi tiruan pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM270,150 selain menahan lima lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar bagi membantu siasatan.
“Jersi-jersi ini dijual secara fizikal kepada pelancong memandangkan Jalan Petaling merupakan antara lokasi tumpuan pelancong. Harga jualan bermula sekitar RM50 sehelai.
“Berdasarkan pemerhatian, setiap premis dianggarkan mampu menjual kira-kira 100 helai sehari, sekali gus meraih keuntungan kasar sekitar RM5,000,” katanya pada sidang akhbar di lokasi semalam.
Mengulas perkembangan siasatan, katanya, jersi tiruan tersebut dijual mengikut beberapa gred pada harga berbeza dan permintaannya meningkat terutama ketika berlangsungnya kejohanan Piala Dunia.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 bagi mengenal pasti pemilik premis serta majikan kepada semua pekerja warga asing yang ditahan.
Katanya, pihaknya percaya kesemua premis yang diserbu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dan dimiliki individu berbeza.
Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati ramai pelancong asing yang hadir ke Jalan Petaling khusus untuk mendapatkan jersi Piala Dunia FIFA terbantut susulan operasi penguatkuasaan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan