Harian Metro
am@hmetro.com.my

ETNIK Rohingya mendominasi angka pelarian dari Myanmar dengan jumlah 126,144.
Kuala Lumpur: Umpama bom jangka. Kebanjiran pelarian tanpa kawalan dibimbangi mengakibatkan gangguan sektor kesihatan termasuk ancaman keselamatan negara.
Ini termasuk penularan wabak penyakit memanacdangkan pelarian tidak dilengkapi dengan jadual vaksinasi seperti rakyat tempatan.
Wujud juga kemungkinan penyakit seperti tuberculosis (tibi), kusta dan taun merebak akibat daripada kebanjiran warga asing ini.
Data semasa menunjukkan bahawa penularan penyakit akibat tibi yang disumbangkan oleh pelarian serta warga asing sekitar 15 peratus daripada jumlah jangkitan keseluruhan.
Ia sekali gus mencetuskan 1001 persoalan berhubung kemungkinan penularan penyakit serta menyukarkan kawalan daripada pihak berkuasa memandangkan kekurangan pemantauan menyeluruh.
Untuk rekod, berdasarkan data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sehingga Februari lalu seramai 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar di negara ini dengan 193,824 daripadanya warga Myanmar.
Etnik Rohingya merangkumi 126,144 pelarian sekali gus angka tertinggi berbanding etnik lain daripada negara itu.
Selain itu, seramai 21,776 pelarian terdiri lebih 50 negara iaitu 5,760 pelarian Pakistan, 3,193 (Yaman), 2,945 (Somalia), 2,931 (Afghanistan), 2,471 (Syria), 1,043 (Sri Lanka), 514 (Palestin), 420 (Iraq) dan beberapa negara lain.
Melihat kepada komposisi jantina menunjukkan 46 peratus terdiri daripada pelarian lelaki, 24 peratus perempuan dan selebihnya kanak-kanak bawah 18 tahun dengan jumlah sekitar 64,680.
Warga Myanmar mewakili kira-kira 90 peratus jumlah pelarian dengan etnik Rohingya kumpulan terbesar iaitu sekitar 58 peratus secara keseluruhan.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar menegaskan isu ini bukan bencana serta-merta, sebaliknya cabaran jangka panjang jika tidak dikawal dengan baik.
"Walaupun data semasa tidak menunjukkan keadaan 'bencana' atau lonjakan luar biasa, namun terdapat risiko dan cabaran sistemik yang perlu ditangani secara serius untuk mengelakkan ia menjadi 'bom jangka' sektor kesihatan pada masa depan.
"Kemungkinan ancaman penularan penyakit ini berlaku akibat dariipada jurang akses vaksinasi termasuk persekitaran tempat tinggal yang kurang baik.
"Pelarian ini juga terdedah dengan pengambilan makanan yang tidak sihat termasuk kekurangan akses perkhidmatan kesihatan sekali gus melambatkan intervensi khususnya bagi penyakit berjangkit," katanya kepada Harian Metro, semalam.
Zainal Ariffin melihat bahawa situasi ini boleh menjadi 'bom jangka' jika tiada langkah holistik diambil oleh kerajaan mahupun pihak berkuasa untuk menguruskan pelarian di negara ini.
Beliau berkata, kaedah terbaik dalam mendepani isu ini adalah memperluaskan skim vaksinasi termasuk kepada pelarian atau warga asing.
"Saya juga berpandangan bahawa perlu langkah strategik untuk memperkukuhkan data serta komunikasi supaya pemantauan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.
"Pihak berkuasa serta kerajaan juga perlu untuk memberi kefahaman kepada pelarian tentang perkhidmatan yang disediakan jika berlaku sebarang bentuk kecemasan khususnya membabitkan penularan penyakit," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan