"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

11 pegawai imigresen direhatkan berkait kes rasuah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen merehatkan 11 pegawainya sehingga siasatan terhadap dakwaan rasuah dan salah guna kuasa selesai, kata Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban.

Zakaria berkata, kesemua 11 pegawai yang ditahan secara berasingan di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan itu direhatkan bagi memastikan mereka tidak lagi terlibat dalam sebarang urusan rasmi.

Beliau berkata, pihaknya akan menunggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengkapkan siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Pada Khamis, SPRM memaklumkan seramai 33 individu, termasuk pegawai penguat kuasa dan penjawat awam, direman selepas serbuan di Putrajaya dan tiga negeri, kerana disyaki terlibat dalam sindiket yang dikaitkan dengan pelbagai kesalahan melibatkan warga asing.

Menurut sumber, 10 pegawai penguat kuasa ditahan kerana didakwa menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja asing atas kesalahan imigresen, dan kerana mengeluarkan visa, pas serta permit tanpa mengikut prosedur yang betul.

Kesalahan lain yang dikesan termasuk mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu untuk permohonan dan kuota pekerja asing.

Zakaria berkata, jabatan itu tidak akan melindungi mana-mana pegawai, tanpa mengira pangkat, jika mereka terlibat dalam sebarang salah laku.

“Jika mereka didapati melakukan kesalahan, tindakan yang sama akan diambil,” katanya, lapor Sinar Harian.

Sementara itu, Zakaria berkata, pelbagai tindakan tatatertib telah diambil terhadap 834 pegawai imigresen sejak 2023, dengan 69 daripadanya telah dipecat.

Tahun ini sahaja, 81 pegawai dibuang kerja kerana isu tatatertib, tambahnya.

Tiada ulasan: