"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis kejar suspek dari Pandan Indah hingga Kajang, jumpa pistol dalam kereta

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
FOTO tular MPV polis mengejar Toyota Vios dari Bulatan Mawar, Pandan Indah hingga ke Jalan Dato' Dagang, Kampung Sungai Ramal, Kajang.
FOTO tular MPV polis mengejar Toyota Vios dari Bulatan Mawar, Pandan Indah hingga ke Jalan Dato' Dagang, Kampung Sungai Ramal, Kajang.
Ampang Jaya: Polis sedang mengesan suspek yang melarikan diri selepas dikejar Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dari Bulatan Mawar, Pandan Indah hingga ke Jalan Dato' Dagang, Kampung Sungai Ramal, Kajang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian itu turut tular di aplikasi Threads yang memaparkan aksi MPV mengejar dua kenderaan.

Beliau berkata, insiden bermula pada 3.10 pagi apabila anggota MPV IPD Ampang Jaya cuba memeriksa Toyota Vios berwarna putih dan Toyota Hilux yang mencurigakan di Bulatan Mawar.

"Bagaimanapun, kedua-dua kenderaan itu bertindak melarikan diri secara agresif dengan melanggar pembahagi jalan, sebelum memandu melawan arus dari Plaza Tol Batu 9 hingga Plaza Tol Batu 11 Cheras.

"Susulan itu, bantuan MPV dari IPD Ampang Jaya dan IPD Kajang digerakkan bagi mengesan kedua-dua kenderaan terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Anuar berkata, pada 4.18 pagi, Toyota Vios itu berjaya disekat di Kampung Sungai Ramal, Kajang, namun suspek sempat melarikan diri dalam keadaan gelap.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemui satu objek menyerupai pistol, manakala semakan mendapati Toyota Vios itu menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960," katanya.

Tiada ulasan: