Noor Hidayah Tanzizi

Tangkap layar video tular memaparkan dua kanak-kanak mengeluarkan kepala melalui sunroof sebuah SUV di Lebuhraya Grand Saga Cheras berhampiran Kampung Batu 10, Cheras, Kajang. Foto tular.
KAJANG: Seorang wanita ditahan selepas video memaparkan dua kanak-kanak mengeluarkan kepala melalui sunroof (bumbung tembus cahaya) sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Lebuhraya Grand Saga Cheras berhampiran Kampung Batu 10, Cheras, di sini, tular di media sosial, hari ini.
Bagaimanapun, wanita itu yang juga ibu kepada dua kanak-kanak perempuan terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.28 petang, hari ini.
Katanya, wanita warga tempatan berusia 30 tahun hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut berhubung perkara berkenaan.
“Wanita itu ibu kepada dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan enam tahun berkenaan ditangkap apabila hadir ke IPD Kajang.
“Dia dibebaskan dengan jaminan polis apabila selesai memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain, terutama membabitkan kanak-kanak, bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
“Mereka yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor S Tharani di talian 0177331935 bagi membantu siasatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan