"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dulu lain: Suami pula menangis akibat isteri curang

Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid dan Suharmin Yusuf
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jika dua dekad lalu golongan isteri paling ramai tampil membuat aduan kecurangan suami, kini situasi berubah apabila golongan suami pula yang datang menangis meminta bantuan selepas mengetahui pasangan mereka mempunyai hubungan sulit dengan rakan sepejabat.

Pakar kaunseling keluarga, Hushim Salleh berkata, perubahan landskap kecurangan domestik ini sebagai sesuatu yang amat membimbangkan.

Beliau mendedahkan trend kecurangan di tempat kerja kini sudah berubah secara drastik berbanding 20 tahun lalu.

"Jika dahulu majoriti kes kaunseling difailkan oleh golongan isteri akibat suami mempunyai skandal, kini terbalik apabila golongan suami pula meminta bantuan.

"Bagaimanapun, demi masa depan anak-anak, ada suami yang masih memilih untuk bersabar dan cuba mempertahankan rumah tangga," katanya.

Hushim berkata, beliau sendiri mengendalikan kira-kira 50 hingga 60 kes hubungan sulit membabitkan rakan sepejabat setiap tahun, angka sejajar dengan statistik perceraian negara yang menakutkan.

Beliau berkata, rekod tahun lalu mencatatkan 50,000 kes cerai manakala tahun ini setakat September hampir mencecah 50,000 kes dan dijangka boleh meningkatkan sehingga 70,000 kes menjelang Disember nanti.

Menurutnya, krisis itu biasanya bermula dengan sekadar meluahkan masalah rumah tangga kepada rakan sepejabat sebelum hubungan itu berkembang menjadi tempat bergantung secara emosi, hanyut ke lembah maksiat, dan akhirnya berakhir dengan tangkapan khalwat.

Beliau berkata, jerat emosi itu lazimnya berlaku apabila pasangan berdepan badai rumah tangga, terutamanya membabitkan isu kewangan, komunikasi dan kecurangan mula mencari pihak ketiga untuk mendengar luahan.

"Keadaan menjadi lebih parah apabila komunikasi dengan pasangan sebenar di rumah semakin renggang, sekali gus mencetuskan rasa sunyi dan dahagakan perhatian yang tidak lagi diperoleh daripada pasangan sendiri.

"Bila sudah bekerja bersama, lama-lama wujud kepercayaan antara rakan sepejabat. Dia mula berkongsi masalah rumah tangga, sama ada masalah dengan suami atau isteri.

"Hubungan pada awalnya hanya berkisar kepada perbualan, bertukar menjadi semakin rapat apabila individu terbabit mula menerima perhatian yang sudah lama tidak diperoleh di rumah," katanya.

Hushim berkata, pada awalnya tiada sentuhan fizikal sebaliknya bermula dengan pandangan mata dan perhatian kecil, seperti menghulurkan tisu ketika dia menangis.

"Namun lama-kelamaan, hubungan itu menjadi semakin intim," katanya.

Mengulas lanjut, Hushim berkata, krisis keintiman fizikal menjadi pemandu utama keruntuhan moral ini di mana kebanyakan pasangan yang bermasalah dikesan sudah berbulan-bulan tidak bersama, malah ada yang tidur di bilik berasingan serta kerap bertengkar apabila berada di rumah.

Hushim berkata, ledakan media sosial dan aplikasi temu janji juga menjadi faktor meruntuhkan institusi perkahwinan.

"Sekarang semua di hujung jari melalui media sosial dan aplikasi temu janji. Tengok gambar sahaja pun sudah boleh berkenalan dan memikat," katanya.

Tiada ulasan: