"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

4 Penjuru Di Hulu Selangor; BN Pecah Dua

Suruhanjaya Pilihan Raya mengesahkan pertandingan empat penjuru di PRK P94 Hulu Selangor.

Calon Pakatan Rakyat Zaid Ibrahim dicabar calon BN P Kamalanathan dan dua calon bebas, bekas Ketua Bahagian MIC Hulu Selangor V.S Chandran dan Ketua Pemuda Shah Alam Johan Md Diah.

Setiausaha Umno Abdul Rauf Yusof mengumumkan perlucutan jawatan Johan Md Diah sebentar tadi.

Sementara itu, seorang pemimpin tempatan J Anuradha tiba di pusat penamaan calon awal pagi, namun cubaan Anuradha mencalonkan dirinya dihalang polis atas alasan tiada pas rasmi dari SPR.

Anuradha akhirnya dibenarkan masuk tanpa pas namun dikecewakan SPR kerana tempoh penamaan telah ditutup.

Mangsa kemudiannya menemui pemimpin Pakatan Rakyat, dan melafazkan ikrar membantu kempen memenangkan Zaid Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pencalonan dari bekas pemimpin MIC Hulu Selangor V.S Chandran A/L Sellepan kira-kira jam 9.48 pagi tadi.

Kontraktor berumur 56 tahun ini tiba di Pusat Penamaan Calon bersama-sama 300 penyokong akar umbi MIC Hulu Selangor, lantas mengesahkan spekulasi BN telah berpecah kepada calon pilihan Umno dan calon pilihan akar umbi.

Beliau diiring pencadang S Vithilingam Subramaniam dan penyokong S Kumaresan.
-tvselangor-

Pilih calon pun BN sudah tak tunai janji - Gobind

Hafiz Irwan
KOTA BHARU, 17 April:
“Sekarang mereka (BN) sendiri terpaksa turunkan calon daripada bukan anak tempatan, mana janji asal dulu? Ini baru peringkat pemilihan calon, janji dah tak tertunai, apa lagi kalau dengan perkara-perkara yang lebih besar,” kata Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (gambar).

Beliau mengulas kekecewaan Ketua Penerangan MIC Hulu Selangor, Raily Muniandiy lantaran janji Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan menurunkan calon anak tempatan dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Namun sebaliknya berlaku sebagaimana dilaporkan oleh sebuah portal berita internet dua hari lepas.

Raily yang mewakili MIC Hulu Selangor mahukan Datuk G. Palanivel dikembalikan sebagai calon.

Namun hasrat Raily itu terkubur apabila Ketua Penerangan Pusat MIC, P. Kamalanathan diumum sebagai calon BN untuk berhadapan dengan Zaid.

Kamalanathan bukan anak tempatan tetapi menetap di Rawang.

Ekoran keputusan tersebut, Raily secara peribadi mengakui kekecewaannya dengan MIC pusat dan BN.

Pencalonan Kamalanathan sekaligus mengetepikan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan Timbalan Ketua Pemudanya, V. Mugilan yang menjadi teka-teki bakal calon sebelum ini.

“BN tidak yakin dengan pendirian mereka sendiri, masa kita (Pakatan Rakyat) tentukan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon kelmarin lagi pimpinan Umno Selangor membuat tanggapan kononnya akan memberi kelebihan kepada BN kerana Zaid bukan anak tempatan.

“Seperti meludah ke langit, terjatuh ke muka sendiri,” kata Gobind mengibaratkan kepada Umno-Barisan Nasional (BN) apabila akhirnya terpaksa memilih calon luar untuk dipertaruhkan dalam PRK itu.

Mengulas lanjut keputusan BN yang memilih calon lain daripada calon yang dikemukakan sebelum ini, beliau berkata itulah gambaran dilema BN yang pastinya dari luar ia dilihat sebagai satu krisis mencabar kredibiliti MIC.

“Ia menunjukkan seolah-olah MIC sudah tidak dihormati dalam Umno,” katanya.

Justeru Gobind, mencadangkan ada baiknya MIC bertindak keluar daripada terus menjadi komponen BN menyertai Pakatan.

Kerajaan Malaysia jadi 'pak turut' Washington

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 17 April:
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, amat malanglah bagi rakyat dan umat Islam di negara ini kerana mempunyai kerajaan yang menjadi pak turut Washington dengan menzalimi keseluruhan rakyat Iran yang tidak berdosa.

Ini kerana AFP melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah mengarahkan syarikat petroleum negara, Petronas untuk memberhentikan penjualan minyak kepada Republik Islam Iran.

Sehubungan itu,tegasnya Perdana Menteri mestilah membuat penafian berhubung perkara itu sekiranya laporan yang dipetik daripada sumber berita AFP itu adalah benar.

Beliau juga mempersoalkan langkah terbaru kerajaan yang turut sama terikut dengan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat yang berterusan mengenakan sikap ‘double standard’ dalam menguruskan isu pembangunan teknologi nuklear sebagaimana yang disimpulkan dari Nuclear Summit 2010 yang dianjurkan oleh pentadbiran Washington.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Malaysia seharusnya mengambil sikap yang sama dengan Republik Turki yang konsisten, berani dan tegas bahawa hak penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan tidak seharusnya diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

Tambahnya, apa yang paling dikesalkan ialah regim zionis haram Israel yang terbukti telah dan sedang bertindak ganas tanpa batas tamadun manusia pula dibiarkan bermaharajalela dengan mempunyai teknologi nuklear sekian lama tanpa pula dikecam oleh mana-mana pihak di Washington.

“Inilah yang sebenarnya menjadi punca krisis keamanan dunia di waktu ini.

“Apa yang lebih buruk ialah dalam masa yang sama, kerajaan Malaysia juga telah gagal untuk menyuarakan tekanan kepada regim zionis Israel dalam persidangan di Washington itu,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.