"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bayar bonus sampai 13 bulan walau TH bermasalah

Jason Thomas

Laporan RCI saran pembayaran bonus diberikan perlu didapatkan semula kerana pemberian itu tidak menurut peraturan.

Laporan RCI Tabung Haji menyatakan amalan bonus ‘terlalu tinggi’ kepada kakitangan patut dihentikan, ambil kira masalah kewangan institusi itu.
PETALING JAYA: Kakitangan Tabung Haji (TH) menerima bonus antara dua hingga 13 bulan gaji dari 2010 hingga 2017, termasuk pembayaran bonus khas pada 2014 melibatkan kos RM74 juta, menurut laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan kepada umum hari ini.

Laporan itu menyatakan amalan bonus ‘terlalu tinggi’ kepada kakitangan patut dihentikan, mengambil kira masalah kesukaran kewangan TH sepanjang tempoh berkenaan.

Ia mengesyorkan agar usaha dilakukan bagi mendapatkan semula bonus dibayar, memandangkan pembayaran tersebut dibuat tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.

Di bawah garis panduan kerajaan, pembayaran bonus melebihi dua bulan gaji boleh dipertimbangkan sekiranya sejumlah besar pegawai dan pekerja menunjukkan prestasi cemerlang.

Suruhanjaya itu berkata, proses kelulusan bonus melibatkan tiga peringkat – Lembaga Pengarah TH, menteri hal ehwal agama, dan menteri kewangan.

Namun, ia mendapati kedua-dua menteri secara lazimnya menerima cadangan bonus yang telah dipersetujui pengurusan dan Lembaga Pengarah TH.

Justifikasi yang diberikan bagi pemberian bonus itu adalah berdasarkan keuntungan kukuh TH sepanjang tahun-tahun berkenaan, dengan cadangan pembayaran dihitung mengikut julat antara 1.7% hingga 2.5% daripada keuntungan tahunan.

Bagaimanapun, RCI menyebut pembayaran bonus yang tinggi itu tidak wajar, memandangkan kedudukan kewangan TH antara 2014 hingga 2017 menunjukkan jumlah asetnya lebih rendah, berbanding liabiliti, seperti yang dilaporkan pada penyata kewangan tahunannya dan diakui Jabatan Audit Negara.

Suruhanjaya itu turut bersetuju dengan pandangan undang-undang yang dikemukakan firma guaman Md Tajuddin & Co bahawa pembayaran bonus kepada Lembaga Pengarah TH Properties melanggar peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016.

Misteri disebalik ucapan selamat maju jaya Zahid selepas Hamzah dicalon jadi PM

Harapandaily
Selepas menyatakan bahawa hak Menteri Besar Negeri Sembilan bukan milik mutlak Umno, terkini sekutu Pas dalam Perikatan Nasional (PN) pula mengangkat Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun respons Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cukup ringkas – mengucapkan “selamat maju jaya”.

Ahmad Zahid menyifatkan hasrat yang disuarakan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, sebagai satu cita-cita politik yang wajar dihormati.

“Saya rasa itu satu cita-cita yang baik dan saya rasa itu mungkin satu usaha yang sangat-sangat disanjung oleh semua parti-parti politik di negara kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pekebun Kecil Peringkat Zon Tengah.

Saifuddin sebelum ini dalam sebuah podcast portal tempatan menamakan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri yang sesuai selepas PRU16.

Menurutnya, rakyat kini mahukan “wajah baharu” dalam kepimpinan negara dan bukan lagi tokoh lama yang pernah menerajui kerajaan.

Beliau berkata, Parti Wawasan Negara menawarkan konsep “konsensus nasional baharu” sebagai pendekatan segar dalam politik negara, dengan Hamzah dilihat antara pemimpin yang mampu memenuhi aspirasi tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid secara berseloroh mengucapkan selamat maju jaya kepada Saifuddin dalam usaha merealisasikan cita-cita politik berkenaan.

“Mudah-mudahan kita ucapkan selamat maju jaya kepada cita-cita besar Datuk Seri Saifuddin Abdullah itu sebagai Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara yang sedang muncul sebagai parti ‘new kid on the block’,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika Parti Wawasan Negara, yang kini menjadi sekutu Pas dalam PN, mula menampilkan Hamzah sebagai wajah utama gabungan berkenaan menjelang PRU16.

Shafie Apdal dihukum penjara 5 minggu, Hina mahkamah isu inkues Zara Qairina

Malaysiakini

Mahkamah Sesyen, Kota KInabalu hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima minggu ke atas Shafie Apdal selepas mendapati bekas ketua menteri Sabah itu menghina mahkamah berhubung kenyataan yang berkaitan dengan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Hakim Mahkamah Sesyen, Kota KInabalu, Amir Shah Amir Hassan, bagaimanapun, membenarkan permohonan presiden parti Warisan itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan berkenaan.

Amir memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap ahli Parlimen Semporna itu melampaui keraguan munasabah, sebelum mensabitkannya mengikut Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948.

Peruntukan itu membawa hukuman penjara sehingga enam minggu dan denda maksimum RM300, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Izhar, manakala Shafie diwakili peguam Jakariya Ab Jalil serta Chen Ket Chuin.

Pada September tahun lalu, Shafie ketika berucap pada satu acara di Kinabatangan dilaporkan menyifatkan kematian Zara Qairina sebagai ‘pembunuhan’ dan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dalam mengendalikan kes itu.

Kenyataan itu dibuat ketika inkues kematian remaja berkenaan masih berlangsung di hadapan Amir.

Pada 23 Oktober tahun lalu, peguam negara mendapat kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding terhadap Shafie,

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 17 Julai tahun lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar.

Inkues bagi menentukan punca kematiannya masih berjalan.