"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN singkirkan Islam dan pinggirkan bahasa Melayu

Irwan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob menyifatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) menyingkirkan agama Islam dalam usaha untuk menarik sokongan bukan Islam.

Dalam ucaptama beliau sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin menyamakan usaha terdesak Umno/BN itu sebagai cubaan merasuah orang bukan Islam dengan menetapkan bahawa anak-anak kepada orang bukan Islam yang memeluk Islam perlu kekal dalam agama asalnya.

Kerana kehilangan sokongan bukan Islam tegas Salahuddin, Umno/BN sanggup melakukan apa saja termasuk menyingkirkan agama rasmi negara ini.

"Umno/BN kini dalam keadaan terdesak bila orang bukan Islam mula memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

"Kerana f aktor itu mereka sanggup menetapkan supaya anak-anak kekal dalam agama asal biarpun bapa memeluk agama Islam," tegas beliau.

Dewan Pemuda PAS tegas beliau kesal bila Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak gagal melindungi kepentingan agama Islam sebagai agama persekutuan.

Dalam soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan pula, Umno/BN tegas Salahuddin gagal menghormati Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Umno kata beliau yang sering melaungkan berjuang untuk orang Melayu tidak sanggup mempertahankan bahasa ibunda sendiri.

"Menerusi Akta Bahasa Kebangsaan 1967, Umno/BN menghapuskan tulisan jawi yang menjadi kebanggaan orang Melayu.

"Kini setelah lama berkuasa mereka berusaha pula untuk meminggirkan bahasa Melayu," ucap Salahuddin.

Keengganan Umno/BN menghapuskan dasar PPSMI, tegas beliau merupakan bukti parti pemerintah itu memandang rendah terhadap keupayaan bahasa ibunda sendiri.

Sebelum beliau menyampaikan ucaptama, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Salahuddin sendiri telah menerima kalungan bunga Malai dari Kelab Penyokong Muda India PAS.

Muktamar Dewan Pemuda PAS ke 50 diadakan di Dewan Dato' Haji Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar.


Tiada ulasan: