"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelbagai Aliran Pemikiran Di Dalam PAS Wajar Dipantau

Muda Mohd Noor
Kemasukan pelbagai aliran pemikiran ke dalam PAS perlu ditangani dan ahli-ahli perlu diberi penerangan supaya mereka yang menyertai parti itu, benar-benar boleh menerima PAS, kata perwakilan Pemuda Johor, Zulhelmi Mohd Rohani.

Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai persepsi dan reaksi dari ahli-ahli PAS mengenai perkara tersebut.

"Ada yang boleh menerimanya iaitu mereka yang telah menerima tarbiyah sejak tahun 1980-an lagi.

"Yang tidak boleh menerimanya sedikit sahaja. Kemasukan ini perlu ditangani dan dipantau dari masa ke semasa, " katanya ketika ditemui di muktamar Pemuda PAS di Gombak hari ini.

Zulhelmi telah membangkitkan perkara itu sewaktu membahaskan laporan tahunan dan penyata kewangan berakhir Disember 2008 di Markas Tarbiah PAS, Gombak pagi tadi.

Sebelum ini dilaporkan wujud perang halus antara dua aliran besar dalam PAS - pro-muqabalah dan "kumpulan Erdogan" - menjelang pemilihan jawatan kanan di muktamar esok.

Di samping itu, PAS juga menjadi tempat terkumpulkan pemimpin daripada parti-parti lain serta pertubuhan Islam yang lain.

Ketika ditanya adakah aliran pemikiran Umno sudah memasuki PAS, Zulhelmi berkata, ia gagal menembusi parti itu kerana peranan pelbagai dewan, termasuk Dewan Ulama.

"Pemuda PAS juga turut memainkan peranan supaya aliran pemikiran Umno itu tidak memasuki parti itu," katanya.

Kelab penyokong PAS

Ketika berucap dalam pembahasan pagi tadi, Zulhilmi berkata, kepentingan politik seolah-olah telah membuatkan PAS melupakan tanggungjawab dakwah.

Katanya, yang perlu difikirkan sekarang ialah bagaimana hendak membina dakwah dalam politik dan politik dalam dakwah.

"Apakah perjuangan yang hendak kita bawa? Tahun 1990 kita bercakap mengenai hukum hudud dan seminar Islam tetapi orang bukan Islam tidak datang kepada kita.

"Mengapa kita tidak mengemblengkan tenaga ketika mereka mula rapat dengan kita," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda, Khairil Faizi Ahmad Kamil berkata, kelab penyokong PAS telah meningkat termasuk 18,500 di Perak sahaja.

Bagaimanapun, katanya, banyak lagi negeri yang tidak mampu menubuhkan kelab penyokong PAS

Katanya, PAS mensasarkan kelab penyokong PAS ditubuhkan di seluruh negara.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: