"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Asiah: Bertanding untuk turut menyumbang bakti


Oleh AZIZ MUDA

KUALA LUMPUR, 3 Jun:Calon Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Asiah Ali menolak sama sekali tanggapan negatif sesetengah pihak tentang kesediaannya bertanding untuk jawatan itu pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat, Khamis ini, untuk merebut jawatan.


Sebaliknya, beliau berbuat demikian untuk bersama-sama menyumbang bakti dengan menawarkan enam perkara bagi manfaat Muslimat PAS secara menyeluruh di semua peringkat.

Malah, beliau juga turut menghormati dan menghargai segala jasa yang ditaburkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) sekarang, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan rakan-rakannya yang lain dalam dewan itu selama ini.

Asiah adalah bekas pensyarah pengajian Islam UITM Shah Alam. Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan kanan dalam DMPP tetapi telah tidak aktif sejak beberapa tahun lepas kerana menumpukan perhatiannya kepada kerjaya beliau. Kini beliau mahu memberikan sepenuh masa kepada PAS.


Ketika dihubungi , beliau menjelaskan, enam perkara yang ditawarkan oleh beliau kepada Muslimat PAS sekiranya beliau dipilih menerajui DMPP pada muktamar itu terdiri daripada:

1. Memperkukuh Dewan Muslimat PAS (DMP) di semua peringkat melalui proses pemerkasaan organisasi, penggerak dan pengukuhan tenaga sokongan serta aktiviti bantuan dan pemantauan ke bawah yang berkesan.


2. Mengutamakan Program Capacity dan Team Building bagi melahirkan Muslimat yang serba mahir, berjiwa kental dan membentuk jama’at El Muslimat yang dibangun dengan ukhuwwah dan faham Islam yang benar.


3. Memartabatkan serta mengarusperdanakan kewujudan DMP secara berkesan di dalam mainstream politik nasional dan antarabangsa.


4. Mewujudkan kerjasama rasmi dan memantapkan gerakan Wanita Pakatan Rakyat.


5. Menjadikan DMP sebagai penggerak kepada kebangkitan rakyat khususnya wanita dalam PRU-13.


6. Menggerakkan penghayatan Islam untuk para remaja menerusi modul gerakerja yang terancang.



(
Gambar: Asiah menyerahkan borang penerimaan pencalonan beliau kepada kakitangan Pejabat Agung PAS)

Menurut beliau, di samping itu, beliau juga mempunyai tujuan besar untuk bersama-sama rakan-rakannya dalam DMPP ke arah memperkasakan lagi program-program tarbiyah untuk Muslimat PAS di semua peringkat termasuk di peringkat cawangan, kawasan, negeri dan pusat.

“Tidak dapat dinafikan, malah kita mesti mengakui dengan jujur, program-program tarbiyah kini kelihatan amat lesu. Sedangkan ia amat penting bagi seluruh Muslimat PAS di semua peringkat. Jadi ia amat penting diperkasakan kembali menerusi program-program yang akan dirancang,” katanya.

Beliau turut menolak tanggapan negatif yang sengaja dimainkan oleh pihak-pihak tertentu tentang perpecahan yang berlaku dalam DMP sekarang yang kononnya Dikatakan berpecahkan kepada golongan ulama dan professional.


“Dalam PAS tak ada perpecahan seperti yang dikatakan itu. Itu semua tak timbul. Muslimat PAS sendiri pun tahu itu semua hanya mainan akhbar-akhbar tempatan sahaja. Sebaliknya dalam PAS semua pihak faham, golongan ulama dan professional saling perlu memerlukan dan bekerjasama antara satu sama lain,” tegasnya.



Beliau turut mengingatkan Muslimat PAS khususnya dan seluruh penyokong PAS amnya bahawa dekad ini merupakan dekad yang amat penting bagi PAS.


“Tahun 2009 ini adalah tahun kesinambungan kepada era pembangunan dalam PAS yang bermula tahun 1990-an, manakala tahun 1980 adalah tahun pembinaan bagi PAS dengan kepimpinan ulama.


“Oleh itu kita perlu mengisi era pembangunan kita ini dengan pendekatan-pendekatan dan program-program yang tepat dan berkesan demi kepentingan perjuangan PAS itu sendiri bagi kepentingan agama, seluruh penyokong PAS dan seluruh rakyat negara ini,” tegasnya.
http://siasahdaily.blogspot.com/

Tiada ulasan: