"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hafiz Ng berdakwah dengan kereta ‘sports’

Hafiz bersama isteri Asmah Beng Abdullah dan dua anaknya Mohd Qayim (kanan) dan Mohd Sina. — Foto Bernama

TAIPING, 26 Feb: Bergelar pendakwah tidak menghalang Mohamad Hafiz Ng Abdullah untuk memandu kereta sports miliknya semasa menjalankan tugas berkongsi keindahan agama Islam dengan masyarakat.

Beliau yang menerima anugerah “Tokoh Pendakwah” di Perak sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini hari ini, berkata sebaliknya kereta sports itu berfungsi sebagai daya tarikan untuk mendekati orang ramai.

“Memandu kereta sports dengan memakai songkok dan berbaju Melayu memberi kelebihan kepada saya kerana ia menarik perhatian masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini.

Majlis dirasmikan Sultan Perak Sultan Azlan yang turut berkenan menyampaikan anugerah “Tokoh Keluarga Mithali” kepada Jurij Sulaiman, yang membesarkan lima orang anak yang berjaya dalam pelbagai bidang, “Tokoh Guru Sekolah Agama Rakyat” kepada Soed Ibrahim, 71, yang mempunyai pengalaman mengajar lebih 30 tahun dan “Tokoh Pegawai Masjid” kepada Abdul Rahim Abu Bakar, 65, yang masih aktif sebagai imam dan mengajar kelas agama.

Mohamad Hafiz, 44, yang memeluk Islam pada 4 Dis 1986 dan mula menjalankan kegiatan berdakwah sejak 1992 juga menyifatkan strategi itu membawa mesej bahawa Islam bukanlah agama yang sempit dan hanya bertumpu kepada akhirat semata-mata.

“Saya juga senang bergaul dengan rakan-rakan dan sesiapa yang bukan Islam dengan cara begitu. Ia sekaligus memberi peluang dakwah kepada mereka mengenai Islam. Contohnya apabila mahu solat, saya ajak mereka menemankan saya ke masjid dan mereka ikut saya,” katanya.

Mohamad Hafiz yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim cawangan Ipoh berkata beliau memeluk agama Islam selepas mengkaji al-Quran selama dua tahun.

Selain memandu kereta sports yang telah diubahsuai, Mohamad Hafiz juga berdakwah menerusi kaunseling, penulisan, ceramah dan mengadakan kelas untuk Orang Asli, saudara baru, anak yatim serta agensi kerajaan.

Beliau dan isterinya Asmah Beng Abdullah, 43, kini sedang menghasilkan buku mengenai strategi untuk berdakwah kepada bukan Islam.

Dakwah bukan sekadar berceramah tetapi satu perjalanan hidup, katanya.

-Bernama-

Tiada ulasan: