"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

S'gor agihkan RM49 juta untuk kebajikan rakyatnya

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap perbicaraan kes liwat keduanya di mahkamah tidak “mengganggu” tugasnya sebagai penasihat ekonomi Selangor untuk memberikan lebih perhatian terhadap negeri itu.

NONE“Kalau saya tidak diganggu banyak di mahkamah, saya dapat tumpukan perhatian lebih banyak di negeri Selangor,” katanya ketika berucap dalam program agihan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri kepada pelbagai pihak di Shah Alam malam tadi.

Anwar berkata, beliau sentiasa berdoa supaya ujian berbentuk 'fitnah dan khianat' terhadapnya dapat dipermudahkan oleh Allah.

“Sekarang ini masih banyak fitnah dan kianat dilemparkan terhadap saya,” katanya dalam Majlis Semarak Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) 2010 di sebuah dewan di Seksyen 19.

Turut hadir dan berucap pada program berkenaan ialah menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim serta exco kebajikan, wanita dan sains Rodziah Ismail.

Menilai program itu, Anwar berkata, kerjasama berkumpulan antaranya pemimpin dan pegawai-pegawai kerajaan negeri dalam isu-isu ekonomi di negeri itu menyebabkan beliau “amat senang bekerja”.

Pada majlis pada malam semalam, kerajaan Selangor mengumpulkan kira-kira 400 anak negeri yang layak menerima bantuan kewangan, antaranya kanak-kanak baru lahir, warga tua dan penuntut universiti.

NONESementara itu, Khalid (kanan, bersongkok) pula pada ucapanya selepas itu berazam menyalurkan kemakmuran dan kekayaan negeri itu terus kepada rakyat Selangor di pelbagai pelosok negeri tanpa mengira bangsa, agama dan parti yang dianggotainya.

“Saya hendak bawa sendiri beliau ke seluruh pelosok... biar Datuk Seri Anwar lihat sendiri, adakah semua ini sampai kepada rakyat di Selangor,” katanya.

Sementara itu, rata-raya penerima sumbangan daripada program-program MES menunjukkan perasaan gembira mereka terhadap skim-skim bantuan yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Rakyat selepas mengambil alih kerajaan dua tahun lalu.

Seorang pemandu, Kamarul Hisham Abdullah yang mengambil bantuan bagi pihak bapanya yang sudah uzur berkata bantuan tersebut amat membantu, terutamanya bagi keluarga berpendapatan rendah sepertinya.

“Bapa saya sebelum ini terima RM1,000, malam ini dapat RM1,500, alhamdulillah, apa yang kami terima ini saya rasa cukup dan memadai untuk keperluan-keperluan kami. Sebelum ini saya pun tidak tahu ada program apa untuk membantunya,”katanya.

Sementara seorang penuntut Mohd Reeezwan Ramli, 19, yang menerima bantuan pendidikan RM1,000 berkata, duit yang diterimanya itu akan digunakan bagi meringankan beban keluarganya.

“Saya tidak bercadang guna semua. Saya hanya hendak guna RM500 untuk permulaan, selebihnya saya akan beri pada emak saya pegang.

“Saya seronok dapat bantuan hari ini, tetapi saya gementar kena naik ke pentas, kena bersalam,” katanya sambil tersenyum.

Program kebajikan yang menjadi teras kepada MES ialah Tabung Anak Warisan Selangor, Skim Mesra Usia Emas, Hadiah Anak Masuk Universiti dan Tabung Kebajikan Anak-anak Pekerja Ladang.

Menurut kenyataan daripada pejabat penasihat ekonomi Selangor, sejak dilancarkan pada Jun 2008, sebanyak RM49 juta telah dibelanjakan bagi tujuan kebajikan di negeri itu.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: