"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Harta RM4.7 bilion milik Thaksin dirampas

BANGKOK, 26 Feb: Mahkamah Agung Thailand malam ini membuat keputusan untuk merampas 46.3 bilion baht (RM4.7 bilion) daripada sejumlah 76.6 bilion baht (RM7.8 bilion) aset yang dibekukan milik perdana menteri yang disingkirkan Thaksin Shinawatra dan keluarganya.

Jumlah harta yang dirampas itu bersamaan dengan 60 peratus nilai kekayaan dimiliki mereka termasuk kadar faedah yang ditimbangkan.

Panel sembilan hakim memutuskan untuk merampas harta keluarga Thaksin dan saudara-maranya, yang diperoleh hasil jualan Ship Corp kepada Temasek Holdings, syarikat pelaburan milik Singapura pada 2006.

Para pemerhati melihat keputusan itu dijangka membangkitkan balik kemarahan para penyokong Thaksin, yang kini berada dalam buangan kendiri, dan mencetuskan semula kebangkitan gelombang politik baru di Thailand.

Menurut para hakim, mereka menentukan kadar harta dirampas itu yang bersamaan dengan perbezaan dalam nilai saham-saham Shin Corp daripada tarikh sebelum Thaksin menjadi perdana menteri dan nilai apabila ia dijual kepada Temasek Holdings empat tahun lalu.

“Jumlah wang yang dirampas ini dianggap sebagai kekayaan tambahan diperoleh beliau ekoran penyalahgunaan kuasa,” kata hakim-hakim berkenaan dalam kenyataan dikeluarkan.

Mahkamah mendapati Thaksin telah memanfaatkan syarikat-syarikat dikawal Shin Corp dengan mengubah pembayaran royalti Advanced Info kepada operator telekomunikasi milik kerajaan dan meluluskan pinjaman kerajaan kepada Myanmar, sebahagiannya digunakan untuk membeli kelengkapan daripada Thaicom.

Mahkamah juga mendapati Thaksin merupakan pemilik sebenar Shin Corp meskipun ketika memegang jawatan perdana menteri, yang sekali gus melanggar undang-undang.

Thaksin digulingkan pada September 2006 ketika berada di New York.

Thaksin juga didapati bersalah menyalahgunakan kuasa sebagai ketua kerajaan dalam memberikan keistimewaan kepada unit-unit Shin Corp.

Thaksin mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan berhubung keputusan hari ini jika beliau menemui bukti baru kesnya.

“Beliau akan menggunakan kesemua ospyen dengan terbuka,” kata Noppadon Pattama, bekas menteri luar dan salah seorang anggota pasukan peguam Thaksin sebelum penghakiman diumumkan.

“Ia satu kompromi penyelesaian, kemungkinan penyelesaian terbaik kepada semua,” kata ketua pegawai eksekutif Asia Plus Securities Pcl di Bangkok, Kongkiat Opaswongkarn dipetik Bloomberg.

“Perpecahan dalam masyarakat tidak boleh diselesaikan dalam sehari tetapi sekurang-kurangnya rakyat boleh bernafas untuk buat sementara waktu,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: