"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inkues: Pornthip tidak datang esok, mungkin guna video

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Pakar patologi dari Thailand Dr Pornthip Rojanasunand tidak akan memberi keterangan dalam prosiding inkues bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock di Mahkamah Koroner di sini esok.

Peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, ketika dihubungi hari ini, mengesahkan perkara itu kerana belum menerima jawapan rasmi dari Dr Pornthip (gambar) mengenai kehadirannya esok.

Katanya kerajaan negeri Selangor masih berurusan dengan Kementerian Kehakiman Thailand dalam membuat aturan supaya Dr Pornthip dapat memberi keterangan melalui persidangan video.

“Kami akan memohon kepada Koroner esok supaya kemungkinan Dr Pornthip memberi keterangan tanpa hadir di mahkamah.

“Kami juga akan menunggu arahan Koroner sebelum membuat aturan susulan jika semua pihak bersetuju dengan cadangan itu,” kata Gobind.

Sementara itu, Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa, memberitahu Bernama, bahawa beliau menerima surat daripada peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan Selangor, pada Isnin lalu dengan memaklumkan bahawa Dr Pornthip tidak dapat menghadiri inkues itu.

Bagaimanapun, Malik, dalam surat itu menyatakan bahawa dia akan memfailkan permohonan untuk Dr Pornthip memberi keterangan menerusi persidangan video, katanya.

Difahamkan selain Dr Pornthip, dua lagi saksi dijangka memberi keterangan pada inkues itu.

Seorang daripada mereka ialah ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah, yang disoal oleh pegawai penyiasat SPRM bersama Teoh dan merupakan orang terakhir dilihat bersama mendiang sebelum dia ditemui mati.

Seorang lagi saksi ialah pegawai penyiasat kes tersebut.

Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan esok untuk mendengar pandangan Dr Pornthip, yang dibawa oleh kerajaan negeri Selangor, selepas mendengar keterangan pakar forensik Britain, Prof Dr Peter Vanezis, bagi pihak SPRM, pada 26 dan 27 April lalu.

Azmil menetapkan esok untuk keputusan sama membenarkan atau tidak kebenarkan kepada abang mendiang Teoh, Meng Kee, agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Teoh, 30, yang merupakan setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, pada

16 Julai lalu selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri di pejabat SPRM Selangor di bangunan yang sama.

-Bernama-

Tiada ulasan: