"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Protes lesen judi: Pemuda PAS nafi tiada sambutan

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat menafikan demonstrasi aman membantah kerajaan meluluskan lesen pertaruhan kejohanan Piala Dunia yang diadakan serentak di seluruh negara hari ini tidak mendapat sambutan.

Sebaliknya Dewan Pemuda PAS Pusat berpendapat kejayaan hari ini satu permulaan baik kerana rakyat mula memberi respons kepada isu tersebut.

Setiausahanya, Kamaruzaman Mohamad berkata demonstrasi yang diadakan hari ini mendapat respons yang baik daripada rakyat.

“Walaupun jumlah yang hadir tidak seramai yang disasarkan tetapi ia satu permulaan yang baik apabila rakyat mula memberikan respons kepada isu ini.

“Ini menunjukkan rakyat sensitif dengan isu perjudian ini, bukan hanya orang Islam tetapi orang bukan Islam juga.

“Malah satu perkembangan yang baik apabila masyarakat Cina dan India turut sama menyertai demonstrasi ini,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata respons yang diberikan itu membuktikan bahawa rakyat Malaysia turut membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen perjudian itu.

“Rakyat Malaysia yang berbilang kaum termasuk Melayu, Cina dan India hari ini melahirkan rasa kekesalan dengan tindakan kerajaan itu.

“Mereka sedar bahawa dengan kelulusan itu ia akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat,” katanya.

The Malaysian Insider difahamkan enam buah negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan telah mengadakan demonstrasi tersebut sebelum menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 3 Julai ini.

“Selepas ini kita akan memulakan siri jelajah yang akan bermula pada 23 Mei ini di Tapah (Perak) dan seterusnya ke seluruh negara bagi menerangkan isu ini kepada masyarakat.

“Fokus kita adalah tentang perjudian dan kesannya kepada masyarakat, jadi kita harap mereka dapat bersama-sama membantah kelulusan lesen perjudian ini dan menyertai kita pada 3 Julai nanti,” kata Kamaruzaman.

Selain itu, sayap Pemuda PAS itu juga akan menyerahkan memorandum kepada mufti-mufti di setiap negeri supaya isu tersebut akan dibawa ke Majlis Mufti Kebangsaan.

Dengan kelulusan tersebut, pertaruhan secara sah boleh dilalukan sebelum kejohanan bola sepak Piala Dunia bermula 11 Jun ini.

Kejohanan tersebut akan berlangsung di Afrika Selatan berlangsung mulai 11 Jun hingga 11 Julai.

Tiada ulasan: