"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuduhan Ketua UMNO Cheras memalukan

 sripetaling
Kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Wilayah (28hb Jun 2011)

Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) dengan ini menyatakan kekesalan yang mendalam di atas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Cheras Syed Ali Alhabshee yang sangat melulu dan memalukan, apabila beliau menuduh Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengamalkan sikap double-standard dalam ‘menghalalkan’ perhimpunan BERSIH, yang dilihat oleh Syed Alhabshee sebagai tidak mengikut ajaran Islam berbanding sikap Presiden PAS itu terhadap kes video Anwar. Beliau lantas meyifatkan sikap itu sebagai suatu ‘kebodohan’. Kenyataan  beliau tersebut disiarkan dalam   Utusan yang bertarikh 28hb Jun 2011 hari ini.

Sesungguhnya DUPWP berpandangan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Alhabshee ini jelas menunjukkan kejahilan beliau tentang Syariat Islam. Fenomena ini dikenali sebagai ‘jahil murakkab’ iaitu seorang yang jahil, tetapi tidak menyedari akan kejahilannya. Sikap ini tidak selayaknya dipamerkan oleh seorang yang bergelar pemimpin walaupun sekadar di peringkat bahagian.

Suka dimaklumkan bahawa majoriti Ulama kontemporari membenarkan perhimpunan seumpama BERSIH ini untuk diadakan selagi matlamat dan kaedah penganjurannya tidak bercanggah dengan nas-nas, prinsip-prinsip serta kaedah-kaedah Syarak yang disepakati. Sekiranya Alhabshee benar-benar ikhlas ingin mencari kebenaran, beliau sepatutnya merujuk kepada para ulama yang mahir dalam bidang Usul al-Fiqh, al-Siyasah al-Syar’iah dan Maqasid al Syariah serta mengetahui perincian maklumat tentang latarbelakang, realiti dan konteks penganjuran perhimpunan BERSIH ini.

Kami tidak terkejut sekiranya beliau tidak tahu tentang hukum-hakam Syariah, tetapi kami hairan mengapa beliau begitu lancang menyelar peribadi seorang Ulama yang berautoriti dalam mengeluarkan sesuatu hukum tanpa sekelumit rasa malu kepada diri sendiri. Adakah pandangan beliau ini suatu pandangan peribadi atau mewakili mana-mana entiti dari kalangan penduduk di kawasan Cheras? Sekiranya ia mewakili pandangan entiti tersebut, maka kami dengan tulus ikhlas menyeru beliau serta rakan-rakannya supaya menilai semula pendirian yang telah dibuat menurut kacamata iman.

Kami juga menuntut permohonan maaf daripada beliau secara terbuka di atas kenyataannya yang prejudis serta kelihatan cuba mengaibkan keperibadian seorang tokoh Ulama yang memiliki autoriti, ilmu serta kemahiran dalam bidang Siyasah Islam lagi dihormati di peringkat antarabangsa. Permohonan maaf ini wajar disiarkan secara terbuka, sesuai kenyataan prejudis beliau yang disiarkan secara terbuka.

Sekian, terima kasih.

Ketua DUPWP

Tiada ulasan: