"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Utusan: PAS gesa bawa ke Majlis Raja-Raja

Harakahdaily
KUANTAN, 29 Jun: PAS Pahang menggesa dan menaruh harapan besar pihak berkuasa agama untuk memanjangkan isu insiden penyiaran karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu untuk dipertimbangkan semoga tindakan yang berkesan dapat diambil bagi memelihara kesucian agama Islam dan kesejahteraan hidup rakyat.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu memorandum bantahan oleh seluruh ahli jawatankuasa PAS Pahang mengenai insiden yang dicetuskan oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia dua minggu lepas kepada Pejabat Mufti Pahang yang diterima oleh Datuk Seri Wan Wahid, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang, semalam. (Gambar)

Penghantaran memorandum bantahan tersebut diketuai Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan juga timbalannya Nasrudin Hasan Tantawi bersama-sama ahli-ahli jawatankuasa PAS Pahang yang lain.

Dalam memorandum tersebut, Tuan Ibrahim, yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menerangkan bahawa penyiaran karikatur tersebut, sama ada disengajakan atau tidak disengajakan oleh Utusan Malaysia telah menyebabkan berlaku kekecewaan, kegelisahan dan ketidaktenteraman masyarakat keseluruhan dan khasnya kepada umat Islam.

“Akhbar Utusan Malaysia adalah akhbar antara yang tertua di negara ini dari segi penerbitannya. Penyebarannya begitu meluas. Namun akhir-akhir ini mereka menunjukkan sikap yang tidak bertanggung-jawab terhadap penyiarannya apabila menerbitkan banyak artikel sensitif membabitkan isu agama dan moral,” katanya di dalam memorandum tersebut.

Pada 15 Jun yang lalu, Utusan telah menyiarkan karikatur yang dilukis seorang yang dikenali sebagai Miki. Beliau telah membuat dua perbandingan situasi mengenai kaedah pelaksanaan hukuman jenayah rogol.

Gambar pertama yang merujuk kepada dialog antara pengadu wanita dan seorang agamawan yang berimejkan seorang alim.
Agamawan tersebut telah menolak aduan tersebut setelah wanita itu tidak mempunyai empat orang saksi walaupun ia mempunyai rakaman kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit.

Dialog yang dikatakan menghina Islam adalah: “Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.”

Gambar kedua pula merujuk kepada dialog di antara pengadu wanita dan seorang yang digambarkan sebagai anggota polis.

Pihak polis menerima rakaman telefon bimbit untuk dijadikan bukti aduan rogol tersebut. Dialognya berbunyi “Bagus ... Alat itu pun boleh jadi bukti!”.

Jelas Tuan Ibrahim, maksud dalam gambaran yang diberikan oleh karikatur tersebut adalah jelas bertentangan dengan perjalanan hukum syariah yang sebenar.

“Keadaan ini jika dibiarkan akan menimbulkan berbagai-bagai persepsi buruk masyarakat terhadap Islam.

Lebih membimbangkan lagi apabila ada di kalangan umat Islam terpengaruh dengan gambaran yang diberikan sehingga boleh merosakkan aqidah umat Islam itu sendiri yang sepatutnya dipelihara oleh semua pihak,” terang beliau dalam memorandum tersebut.

Untuk mengelakkan insiden tersebut berulang, Tuan Ibrahim berkata PAS Pahang menyarankan supaya pihak berkuasa agama negara dapat menyediakan garis panduan syariah bagi mengawal dan mengawasi bahan-bahan penyiaran pelbagai media di negara ini.

“Lembaga pengawasan syariah ini bukan sahaja mengawal agar penyiaran tidak bercanggah dengan syarak, tetapi turut memandu media perdana agar setiap bahan penerbitan yang boleh merosakkan minda atau akhlak remaja dapat dikawal dan memastikan mereka untuk menyiarkan bahan penyiaran yang lebih bertanggungjawab,” jelas Tuan Ibrahim ketika melontarkan idea tersebut dua minggu yang lalu sejurus selepas insiden itu terjadi.

Selain itu, Tuan Ibrahim juga menyelar kegemaran Utusan Malaysia yang kelihatan mempunyai minat yang mendalam dengan menjaja bahan berunsur porno (kelucahan melampau) seperti isu video seks, memuatkan berita-berita yang boleh mendatangkan ketegangan kaum secara melampau.

“(Ia) telah merosakkan usaha memelihara kesucian agama Islam, pembinaan akhlak umat serta perpaduan kaum di negara ini,” kata beliau, sambil menambah bahawa tujuan memorandum bantahan tersebut dihantar adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan umat Islam keseluruhannya.

Tiada ulasan: