"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Institusi Masjid Dicemar Demi Batal Himpunan Aman Bersih

SHAH ALAM, 2 JULAI: Ketandusan formula bagi menyekat kemaraan rakyat  untuk menyertai sebuah perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), memaksa kerajaan menggunakan institusi masjid untuk membatalkan himpunan berkenaan.

Malah gambaran yang diberikan dalam khutbah-khutbah Jumaat di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya semalam yang menyimpang dari agenda sebenar Bersih 2.0 diadakan, benar-benar mengecewakan dan sesuatu yang sengaja direkayasa, kata pemimpin Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Ustaz Abdul Ghani Shamsudin.

"Andaian bahawa himpunan Bersih adalah himpunan berdarah, adalah andai-andaian yang mereka sengaja cipta kerana mereka tahu bahawa kita berpotensi menimbulkan kesedaran masyarakat tentang perlunya pilihan raya yang adil, profesional dan betul,"katanya kepada Tv Selangor.

Semalam, masjid-masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya diwajibkan membaca khutbah Jumaat yang menuduh penganjur Bersih sebagai “pengkhianat” dan mendakwa peserta himpunan itu  “akan bertindak ganas, merosakkan harta benda…malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan.”

Ia seolah-olah mahu memberikan gambaran bahawa perhimpunan tersebut adalah salah dan memudaratkan rakyat dengan mengandaikan ianya adalah perhimpunan berdarah.

Walhal menurut Ustaz Ghani, perhimpunan secara aman adalah sesuatu yang diharuskan dalam maqasid syariah sebagai jalan untuk menegur pemerintah yang angkuh.

Apatah lagi perhimpunan yang bakal dianjurkan adalah sebuah perhimpunan aman.

"Hukum asal berhimpun secara aman ini adalah harus, dengan merujuk kepada huraian alim ulama, ianya akan menjadi hukum sunnah, malah wajib sekiranya tiada lagi cara untuk menegur dan membetulkan kemungkaran dengan cara berhimpun dan berdemonstrasi di padang terbuka mahupun jalan raya," jelas beliau.

Khutbah Jumaat yang dibacakan semalam berjudul “Memelihara Nikmat Keamaman” yang diedarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mendakwa peserta Bersih pada 9 Julai akan “melakukan demonstrasi jalanan, perhimpunan haram, dan  berarak ke hulu hilir serta melanggar undang-undang negara”.

Tuduhan yang dibuat menerusi khutbah Jumaat itu mengejutkan lebih-lebih lagi setelah penganjurnya dan pemimpin-pemimpin politik yang menyertai Bersih memberi jaminan berulang kali bahawa perhimpunan itu adalah aman dan berharap polis tidak akan mencetuskan sebarang provokasi.

Tiada ulasan: