"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita berbulu sukar hamil

NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

SESETENGAH wanita yang mengalami sindrom PCOS terpaksa bercukur tiga kali sehari.
SETIAP pagi sebelum suaminya, Bill, bangun, Marianne Ponsonby-White, 30, bergegas ke bilik air untuk meneliti mukanya di hadapan cermin.

Dia tidak mencari jerawat ataupun kedutan tetapi pertumbuhan rambut yang tidak diingini. Setiap kali bangun tidur, sekurang-kurangnya satu dozen bulu-bulu halus muncul di pipi dan dagunya.

Menurut pengurus pemasaran dan jualan dari Buckinghamshire, England ini, dia disahkan menghidap sindrom ovari polisistik (PCOS) iaitu gejala ketidakseimbangan hormon apabila ovarinya menghasilkan jumlah hormon testosteron lebih tinggi daripada tahap normal.

"Saya berdepan dengan masalah pertumbuhan rambut berlebihan dan adakalanya membuatkan saya berasa seperti tidak feminin. Saya akan mencukur bulu yang tumbuh di muka saya setiap dua minggu, manakala epilator digunakan pada abdomen saya.

"Jika tidak, bulu pada muka dan badan saya yang tebal dan sangat hitam akan kelihatan menjijikkan. Suami saya berlagak seperti dia tidak perasan tentang masalah ini.

"Saya sudah melakukan pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah bulu yang tumbuh di tempat yang tidak sepatutnya dipunyai oleh seorang wanita," beritahu beliau yang percaya sindrom itu merupakan penyakit keturunan.

Tambahnya, ibu saudaranya juga mengalami penyakit yang sama. Dia masih mengingati bahagian dagu ibu saudaranya yang tidak dikurniakan anak itu ditumbuhi janggut.

Misai

Marianne memberitahu, dia mula perasan pertumbuhan bulu berlebihan di mukanya ketika berusia 22 tahun.

"Saya terkejut apabila mendapati saya mempunyai misai dan beberapa bahagian badan lain yang ditumbuhi bulu. Ia amat mengerikan.

"Saya membiarkan keadaan ini selama dua tahun sebelum meminta bantuan daripada pakar perubatan. Ujian ultrabunyi yang dilakukan menunjukkan saya menghidap PCOS.

"Walaupun kini saya mengetahui punca pertumbuhan bulu luar biasa ini, saya tidak menerima apa-apa bantuan mahupun nasihat sebaliknya membiarkan ia menjadi bahan penyelidikan. Ternyata ramai wanita yang menghidap penyakit ini tetapi dengan sindrom sukar untuk hamil," ujarnya.

Jelas Marianne, dia sangat bernasib baik kerana mengandungkan anaknya, Beatrice secara semula jadi lima tahun lalu pada usia 25 tahun, dan kini hamil lapan bulan anak keduanya.

Seorang wakil dari kumpulan sokongan untuk pesakit PCOS di Britain, Rachel Hawkes Verity berkata, sindrom ovari polisistik boleh mengakibatkan kemusnahan pada diri wanita.

"Saya mempunyai ahli keluarga yang mahu membunuh diri kerana mereka tidak lagi mampu berhadapan dengan masalah pertumbuhan bulu berlebihan selain bergelut dengan masalah berat badan.

"Salah seorang daripada wanita itu terpaksa bercukur tiga kali sehari. Dia turut membawa pisau cukur ke tempat kerja bagi memudahkannya bercukur pada waktu rehat.

"Bagi seorang wanita, wajah ditumbuhi janggut dan misai adalah perkara yang tidak boleh diterima dan ini bukan terjadi disebabkan faktor kosmetik," jelas Rachel.

Gejala

Menurut Konsultan Obstetrik dan Ginakologi, Hospital Pakar DEMC Shah Alam, Dr. J. Thaneemalai, PCOS ialah gangguan yang berpunca daripada tahap hormon tertentu yang tidak normal. Ia biasa dialami 20 peratus daripada wanita.

"Antara simptom PCOS ialah kitaran haid tidak teratur, sukar hamil, berat badan berlebihan, kulit berminyak serta berjerawat selain mengalami perubahan dari segi mood. Simptom yang ditunjukkan berbeza bagi setiap wanita.

"Wanita dengan PCOS sering mempunyai tanda-tanda yang berbeza. Gejala ini kadang-kadang datang dan pergi menyebabkan ia sukar untuk didiagnosis.

"Diagnosis biasanya dibuat apabila ada simptom seperti kitaran haid yang tidak teratur, sukar hamil dan pertumbuhan rambut yang berlebihan di muka atau badan," beritahu beliau.

Tambahnya, kaedah rawatan bagi PCOS bergantung kepada simptom yang dialami. Rawatan jangka panjang mungkin perlu jika seseorang itu mempunyai penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, peningkatan gula dalam darah dan penyakit jantung.

"Yang penting, penghidap PCOS perlu menjalani gaya hidup sihat dan mengamalkan diet yang seimbang serta kerap bersenam sekurang-kurangnya 30 minit, tiga kali seminggu," ujarnya.

Tiada ulasan: