"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pasca Bubar: Kerajaan Sementara atau Haram?

Nasrudin Hassan
1. Sebagai contoh kes, Kerajaan N.9 telah terbubar dengan sendiri pada 28 Mac 2013. Ertinya N.9 tidak lagi memiliki kerajaan yang sah buat masa ini kerana mandat rakyat wajib diperbaharui. Samaada mandat itu berpihak kepada BN atau PR, itu perkara kedua. Tetapi mandat rakyat mesti diperbaharui bagi mengekalkan daulat. Kerajaan N.9 telah bubar serta tidak boleh lagi berfungsi dan berperanan sebagai sebuah kerajaan yang sah dan apa yang boleh ada sekarang hanyalah Caretaker Government atau kerajaan Sementara.

2. Caretaker Government atau kerajaan sementara atau lebih tepat disebut sebagai "Kerajaan Pemegang Amanah" ini mesti diisytihar atau dilantik siapakah pemimpin yang akan mengetuai kerajaan sementara ini dan kuasanya sangat limited. Sekadar mengetuai, sementara dibentuk kerajaan baru yang sah menerusi mandat rakyat yang dipungut melalui undi awam iaitu pilihanraya umum yang sah dan adil pula.

3. Ketua dan Kerajaan Sementara mestilah memenuhi beberapa kriteria, antaranya seperti berikut :

a] tidak-berpihak (neutral),
b] bebas-politik (apolitical)
c] berwibawa (competent).

4. Kerajaan jenis ini tidak boleh melakukan beberapa perkara utama, antaranya :

a] mengisytihar budget baru,
b] projek kerajaan,
c] menggubal dasar,
d] menggunakan jawatan kerajaan dalam kempen pilihanraya,
e] menggunakan jentera dan kakitangan awam dalam kempen dan sebagainya.

5. Tanpa pengisytiharan atau lantikan kerajaan sementara maka ia adalah kerajaan yang tidak sah ataupun kerajaan haram. Sangat bercanggah dengan etika demokrasi dan norma perlembagaan negara kita. Dalam catatan sejarah pada pilihanraya 1959, Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri telah meletak jawatan sebagai PM dan turun berkempen sebagai ketua parti jua tanpa menggunakan jentera kerajaan.

6. Bakal terbubar dengan sendiri juga ialah beberapa kerajaan negeri selepas ini termasuklah kerajaan persekutuan jika sekira sekiranya Perdana Menteri masih gagal dan hilang keyakinan diri untuk mengisytihar tarikh pembubaran kabinet. Selain daripada kewibawaan kerajaan tercalar ekoran kegagalan mengisytiharkan pembubaran kabinet dalam tempoh yang ditetapkan, kerajaan sementara juga mestilah dibentuk segera. Jika tidak ia akan menjadi sebuah kerajaan haram dan perkara ini sangat meruntuhkan moral dan kewibawaan bahkan boleh mencetus suasana kerajaan dan pentadbiran negara yang tidak stabil.

Apakah Malaysia bakal menjadi sebuah Kerajaan Haram?

*Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: