"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selamat datang Hasan Ali - Khalid Samad

Jamilah Kamarudin
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yakin undi Pakatan Rakyat sama sekali tidak akan tergugat sekiranya Presiden Jalur Tiga Datuk Dr Hasan Ali berhasrat untuk bertanding di kawasan itu semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 13 nanti.

Katanya, pihaknya tidak ada masalah menerima kedatangan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu sebagai calon melawan PAS merebut kerusi Parlimen Shah Alam.

“Saya mengalu-alukan kedatangan beliau tapi saya yakin orang Shah Alam pun tak begitu berminat dengan dia.

“Pengundi dah nampak perwatakan dia yang melanggar disiplin dan mengkhianati keputusan kepimpinan PAS ketika dulu,” katanya kepada FMT di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini hari ini.

Hasan Ali semalam dalam kenyataannya semalam berkata dirinya sedang meneliti kemungkinan sama ada mahu bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia dan mencuba nasib Parlimen Shah Alam.

Katanya, ini berikutan wujud permintaan beberapa pihak yang mahu beliau terus bertanding PRU13 termasuk daripada beberapa pemimpin Ulama PAS sendiri.

Khalid dalam responnya bagaimanapun berkata, hasrat bekas Exco Selangor itu jelas mahu memecahkan undi yang majoritinya masyarakat Melayu yang bakal menyaksikan perebutan kerusi tiga penjuru.

“Saya yakin Barisan Nasional (BN) tak mungkin akan membenarkan Hasan Ali menggunakan logo BN kerana mereka sudah ada calon sendiri yang lebih wibawa.

“Nak tahu prestasi dia macamana, kena tanya orang Gombak Setia,” katanya yang berhasrat untuk mempertahankan kerusi Shah Alam buat penggal kedua.

Munajat Selamatkan Malaysia

Sementara itu, dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul mengumumkan satu program Munajat Selamatkan Malaysia dan Forum Lahad Datu: Rakyat berhak tahu di Stadium Malawati Shah Alam Selangor pada Ahad ini.

Progran anjuran Sekretariat Pakatan Rakyat itu menurut Johari diadakan bagi mengemukakan jawapan serta respon berhubung isu Lahad Datu yang selama ini dimanipulasi media arus perdana untuk menyerang Pakatan Rakyat menjelang PRU13.

Antara ahli panel forum ialah beberapa bekas pemimpin tertinggi anggota keselamatan; Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid, Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab, Laksama Pertama (B) Imram Abdul Hamid, serta bekas ketua Cawangan Khas Sabah ACP (B) Mohd Yusoff Babjee.

Beberapa pemimpin Pakatan akan turut hadir berucap antaranya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali serta Ketua Pemuda Sosialis DAP Anthony Loke Siew Fook

Tiada ulasan: