"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar: PKR terbuka terima ahli politik tolak rasuah

PKR menyatakan parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mahukan sistem pemerintahan yang bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Presidennya Anwar Ibrahim berkata peringatan dan penegasan dibuat raja-raja Melayu baru-baru ini perlu diberi perhatian dan tidak boleh diremehkan.

Malah katanya ia perlu didukunbg semua pihak yang memiliki kesedaran untuk menolak kebobrokan.

Justeru kata Anwar PKR akan terus memperjuangkan agenda reformasi berpaksikan prinsip keadilan dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mendambakan sebuah tatanan yang bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta mengangkat politik nilai," katanya.

Mengenai Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan minggu depan, Anwar berkata, ia perlu dipersiapkan dengan menggembleng usaha kerajaan dan pembangkang.

Langkah itu katanya perlu untuk merencana strategi ampuh bagi menangani kesan Covid-19, isu pengangguran dan kemiskinan.

Diselamatkan daripada darurat

Kenyataan Anwar itu dibuat sehari selepas media melaporkan, bekas presiden Umno Najib Razak, mencadangkan agar parti itu bekerjasama dengan pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan untuk membolehkan perdana menteri baru dilantik. 

Ia susulan pertemuan ahli-ahli parlimen BN ketika kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilihat semakin goyah selepas Yang di-Pertuan Agong menolak cadangannya agar darurat diisytiharkan di negara ini.

Bagaimanapun cadangan berkenaan tidak mendapat sambutan.

Hari ini Najib menjelaskan pandangan agar BN memberi sokongan kepada Anwar itu adalah satu daripada cadangan yang dikemukakannya dalam pertemuan semalam.

Najib juga menegaskan sokongan itu mestilah dengan syarat ia tidak melibatkan kerjasama dengan DAP.

Anwar berkata usaha mengembalikan mandat rakyat - selepas dinafikan Bersatu dan sekumpulan ahli parlimen PKR pada akhir Feb lalu - mestilah dibuat dengan berpaksikan matlamat mempertahan maruah bangsa dan negara tanpa menggadaikan prinsip perjuangan dan idealisme.

Baca 'Raja-raja mahu mekanisme semak dan imbang dihormati'

"Alhamdulillah, kita berjaya menyelamatkan negara ini daripada diisytiharkan darurat dan sekali lagi saya menzahirkan kesyukuran ke atas keprihatinan raja-raja Melayu mempertahankan keluhuran Perlembagaan daripada penyalahgunaan kuasa pemerintah," katanya.

Anwar juga berkata penegasan raja-raja Melayu yang dikeluarkan pada minggu lalu perlu diberi perhatian dan tidak boleh dipandang enteng.

"Malah ia harus didukung oleh semua pihak yang punya kesedaran dan kejituan dalam menolak kebobrokan," katanya.

Tiada ulasan: